Kemeriahan Terbuka Malaysia, peminat bola sepak perlu contohi semangat ‘Badminton Lovers’

1,378

Jumlah penyokong yang ramai menjadi antara tumpuan utama kejohanan Terbuka Malaysia 2022 yang telah menutup tirai pada 3 Julai yang lalu.

Kemeriahan ini telah mula dirasai sejak kali pertama tempoh penjualan tiket dibuka secara atas talian sehingga memaksa pihak penganjur untuk menambah kuantiti tiket sedia ada.


Tambahan pula, ada antara mereka yang hadir ke gelanggang perlawanan pada awal pagi sehingga ke perlawanan terakhir setiap hari.

Semangat ini perlu dicontohi oleh penyokong bola sepak tanah air yang dilihat semakin sukar untuk hadir ke stadium bagi menyokong pasukan tempatan.

Baru-baru ini, pasukan Kuala Lumpur City FC yang menjadi tuan rumah saingan Kumpulan H di Piala AFC 2022 berhadapan masalah yang sama apabila kurang daripada 2,000 orang penonton yang hadir ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur untuk memberikan sokongan.

Jumlah itu dianggap mengecewakan tatkala stadium tersebut mampu menampung 18,000 orang dalam satu masa.

Pihak bertanggungjawab harus menganalisis semula faktor-faktor yang mampu membantu dalam menarik perhatian penyokong.

Meskipun media sosial mampu memberi kesan yang buruk kepada atlet, namun platform digital ini tetap memiliki sebuah sudut positif dalam membantu mempromosikan sukan badminton secara meluas.

Kemunculan pemain-pemain badminton negara di media sosial menjadikan peminat berasa dekat dan aura tersebut berjaya ‘memujuk’ mereka untuk hadir memberikan sokongan.

Pemain badminton negara boleh dianggap sebagai artis di kalangan peminat badminton tanah air dan ini menambahkan lagi kemeriahan sukan tersebut setiap kali pemain negara bertanding.

Situasi ini turut memberi kesan kepada pemain luar seperti perseorangan Jepun, Kento Momota yang menerima sokongan gemuruh daripada peminat badminton tempatan yang berada di Axiata Arena sepanjang kejohanan berlangsung.

Persatuan bola sepak negeri dan kelab perlu mula mengorak langkah dalam memanfaatkan platform digital seperti Facebook dan Instagram bagi memberi peluang kepada peminat untuk berkomunikasi secara lebih rapat dengan pemain kesukaan mereka.

Pada masa yang sama, kebebasan yang diberikan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) turut memainkan peranan penting.

Pendekatan yang diambil oleh BWF dari segi promosi jelas membantu meningkatkan lagi penjenamaan sukan ini di mata dunia.

Berbeza dengan kejohanan bola sepak, lebih-lebih lagi yang dianjurkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang mengehadkan interaksi antara pemain dan peminat.

Tambahan pula, penganjuran karnival di sepanjang kejohanan menambahkan lagi kehangatkan saingan Terbuka Malaysia baru-baru ini.

Situasi ini berjaya menjadi antara tarikan utama kepada penyokong yang hadir untuk memberi sokongan kepada pemain kesayangan mereka.

Berbeza dengan bola sepak, karnival seperti ini biasanya diadakan pada masa tertentu sahaja seperti perlawanan akhir.

Pihak bertanggungjawab seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) perlu segera mengambil inisiatif yang dilihat berkesan dalam menarik minat penyokong untuk kembali hadir ke stadium.

Mereka merupakan nadi utama bola sepak dan kehadiran ribuan penyokong mampu membakar semangat kepada para pemain untuk beraksi dengan baik seperti yang berlaku sebelum ini di saingan kelayakan Piala Asia 2023.

Pujian perlu diberikan kepada pasukan Johor Darul Ta’zim FC (JDT) yang telah mula membenarkan pemegang pas bermusim untuk hadir ke sesi latihan pasukan tersebut.

Usaha ini perlu dicontohi oleh kelab-kelab di Liga Malaysia dalam usaha mendapatkan semula sokongan daripada peminat.