AFC bakal ikut jejak CAF lancar Super League? Pasukan Malaysia perlu tingkatkan kualiti segera

719

Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) telah bersetuju dengan cadangan penganjuran CAF Super League (CSL) yang akan mula berlangsung pada Ogos 2023.

Meskipun belum mempunyai kata putus tentang jumlah penyertaan pasukan dan format pertandingan yang akan digunakan, CAF terlebih dahulu mengumumkan nilai hadiah terkumpul yang berjumlah RM440,950,000 ($100 juta) hasil daripada tajaan beberapa organisasi terkemuka.


Jumlah wang kemenangan yang besar ini dilihat akan menarik minat kelab-kelab besar dari seluruh benua Afrika.

Sebelum ini, ada perbincangan yang dilakukan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk mengadakan kejohanan yang serupa iaitu Asian Super League (ASL).

Sekiranya situasi ini benar-benar berlaku, ia akan menjadi sebuah kejohanan elit yang mengumpulkan pasukan terbaik yang datang dari liga utama di Asia seperti Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi dan beberapa negara lain.

Walaupun Liga Malaysia berada di kedudukan empat terbaik di Asia pada masa ini, peluang kelab dari negara ini untuk dipilih tetap tipis disebabkan beberapa faktor utama yang akan mempengaruhi proses pemilihan.

Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) merupakan antara fasiliti utama yang telah digunapakai di kebanyakan liga termasuk Liga Thailand.

Ketiadaan teknologi ini di Malaysia menjadi penghalang utama seperti yang berlaku sebelum ini kepada pasukan Johor Darul Ta’zim FC (JDT) yang memasang impian untuk menjadi tuan rumah pusingan kalah mati saingan AFC Champions League (ACL) 2022.

Namun, harapan tersebut terpaksa dilupakan ekoran daripada syarat yang diletakkan oleh AFC mewajibkan pasukan yang ingin menjadi tuan rumah untuk mempunyai sistem VAR.

Pada masa yang sama, kualiti padang dan stadium akan turut menjadi antara elemen utama yang akan dipertimbangkan.

Keadaan padang yang mengecewakan di beberapa stadium utama negara akan menjejaskan reputasi dan kemungkinan untuk dipilih.

Tambahan pula, pasukan di liga lain serata ASEAN seperti Vietnam dan Thailand semakin giat memperbaiki kualiti padang sedia ada yang dimiliki oleh mereka.

Kedua-dua elemen ini perlu menjadi fokus utama pasukan dan badan bertanggungjawab di Malaysia sebagai persediaan untuk masa hadapan.

Lebih-lebih lagi, perkara ini masih berada di peringkat perancangan kerana AFC perlu mengambil kira beberapa aspek utama.

Penganjuran kejohanan seperti ini jelas sekali akan menjejaskan kemeriahan yang telah dibawa oleh ACL sebagai kejohanan utama kelab di Asia.

AFC juga perlu membuat permohonan kepada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi menyenaraikan kejohanan ini di dalam kalendar badan induk bola sepak dunia tersebut agar tidak berlaku sebarang konflik di peringkat kelab dan antarabangsa.

Diharap agar tempoh perbincangan yang dilakukan ini dapat membuka peluang kepada pasukan-pasukan di Malaysia untuk menaik taraf fasiliti mereka setanding dengan negara luar.

Kewujudan fasiliti yang baik di kebanyakan kelab di Malaysia sedikit sebanyak akan turut memberi impak kepada peningkatan kualiti pasukan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.