Perubahan format Liga Malaysia bakal perkasakan ‘ubi muda’

5,447

Sebelum ini kecoh mengenai ura-ura yang mengatakan bahawa Liga Malaysia akan mengalami perubahan format bermula musim depan.

Menurut khabar angin tersebut, perubahan itu akan menjadikan pasukan Liga Super bertambah kepada 18 pasukan dengan menggabungkan enam pasukan daripada Liga Perdana tanpa penyingkiran.


Liga Perdana pula akan menjadi Liga Simpanan (Reserve League) yang akan memberi fokus kepada pemain B-23 dengan kesemua pasukan feeder dihapuskan.

Difahamkan, perkara itu pernah diusulkan kepada pihak Malaysian Football League (MFL) namun sehingga kini perkara itu masih belum ada sebarang kata putus mengenainya sehingga ke hari ini.

Jika ia menjadi kenyataan pun, format baru itu mungkin akan mula diguna pakai pada tahun 2024 dan bukan pada musim depan seperti yang kecoh sebelum ini.

Ia memandangkan MFL kesuntukan masa untuk melaksanakan perubahan pada musim depan dan segala aturan liga bagi musim depan sudah pun dirangka.

Melalui format baru yang dicadangkan itu, Liga Super akan menjadi lebih kompetitif kerana setiap pasukan akan mengharungi 34 perlawanan berbanding 22 perlawanan ketika ini.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa saingan Liga Malaysia kurang kompetitif kerana kekurangan perlawanan.

Jadi ia pastinya baik dari segi kecergasan para pemain kerana akan bermain lebih 12 perlawanan berbanding format sekarang.

Selain itu, format baru ini juga pastinya akan menjadi satu revolusi buat pembangunan bakat-bakat muda tempatan.

Ramai peminat bola sepak tempatan yang sedar akan hakikat bahawa pasukan feeder ketika ini menjadi tempat pasukan-pasukan besar ‘menyimpan’ pemain import, walaupun tujuan asalnya adalah untuk memberi peluang buat pemain muda beraksi.

Ia dapat memberi peluang buat pemain muda tempatan untuk bersaing dalam satu liga kompetitif.

Justeru pemain muda ini akan lebih bersedia sekiranya dipanggil untuk menyarung jersi kebangsaan kerana mempunyai minit permainan yang banyak.

Cadangan format baru Liga Malaysia ini semestinya satu idea yang menarik dan bakal memberi manfaat yang besar buat arena bola sepak tempatan.

Namun MFL harus membuat perancangan teliti sebelum melaksanakan melakukan rombakan liga kerana pelbagai perkara perlu diambil kira supaya tiada masalah akan timbul pada masa akan datang.