Siri LIV Golf ubah landskap golf dunia, muncul sebagai alternatif kepada PGA & European Tour dengan wang kemenangan lebih besar

429

Siri Jemputan LIV Golf muncul sebagai kejohanan golf terbesar di dunia dengan tawaran hadiah kemanangan yang cukup lumayan.

Kejohanan ini dibiayai oleh Public Investment Fund (PIF) Saudi Arabia yang merupakan salah satu dana kekayaan terbesar di dunia.


Lebih menarik, siri jemputan ini merupakan kejohanan sampingan yang dilakukan di luar kalendar Persatuan Pemain Golf Profesional (PGA).

Perkara ini menyebabkan wujudnya konflik di antara persatuan tersebut yang menolak sekeras-kerasnya penganjuran pertandingan ini.

Namun, kejohanan lapan siri ini tetap diteruskan oleh penganjur berdasarkan sambutan memberangsangkan yang diterima oleh mereka.

Pemain golf profesional negara, Ervin Chang turut mengakui dilema yang sedang berlaku di dalam sukan tersebut.

“Sekarang dunia golf antarabangsa sudah semakin berkembang dan berubah, PGA bukan lagi kejohanan utama.

Kewujudan kejohanan dengan wang kemenangan yang besar mengubah landskap sukan ini,”

kata beliau kepada Harimau Malaya

Jumlah wang kemenangan yang besar merupakan tarikan utama kejohanan ini yang telah berjaya menampilkan kehadiran beberapa orang pemain golf terkemuka seperti bekas pemain No. 1 Dunia, Dustin Johnson, Patrick Reed, Bryson Dechambeau, Kevin Na, Lee Westwood dan ramai lagi.

Selain daripada hadiah yang dipertaruhkan, format saingan ini turut menjadi antara elemen yang berjaya menarik minat ramai pemain.

Format No Cuts yang digunakan memberi peluang kepada peserta untuk tetap memperoleh ganjaran yang lumayan meskipun gagal mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan berlangsung.

Siri jemputan ini akan menampilkan seramai 48 pemain yang dipilih berdasarkan beberapa kriteria kelayakan.  

Kesemua peserta bermula dari tempat pertama sehingga terakhir akan membawa pulang wang tunai sebagai hadiah penyertaan.

Pemenang akan membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM17,652,000 ($4 juta), manakala peserta di tempat terakhir akan tetap mendapat ‘durian runtuh’ sebanyak RM529,560 ($120 Ribu).

Selain PGA Tour, terdapat beberapa kejohanan lain yang telah memboikot penganjuran siri pertandingan ini dari terus diadakan.

Terdahulu, pemain yang membuat keputusan untuk bertanding untuk mana-mana Siri Jemputan LIV Golf ini akan berhadapan dengan tindakan yang berat dan dihalang dari menyertai European Tour seperti yang turut dilakukan oleh PGA Tour.

Tindakan ini akan menyebabkan pemain yang terlibat berhadapan dengan risiko yang besar terhadap kemunculan mereka di kejohanan besar terutamanya Ryder Cup dan kejohanan besar lain.

Sambutan memberangsangkan terutamanya daripada kalangan pemain golf tersohor dunia untuk turut serta dalam LIV Golf ini dipengaruhi oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) -nya iaitu Greg Norman yang juga merupakan bekas pemain No.1 Dunia.

Bukan sukan golf sahaja, kini sukan paling popular di dunia iaitu bola sepak juga sedang menuju ke arah itu apabila Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) juga bakal menganjurkan CAF Super League yang menawarkan wang kemenangan berjumlah RM440,950,000 ($100 juta).