Christophe Gamel tak gentar dipecat, masa depan mungkin ditentukan minggu ini

1,474

Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel mengakui masa depannya mungkin akan ditentukan minggu ini selepas prestasi buruk yang dipamerkan anak buahnya dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Menurut Gamel, beliau tidak gentar sekiranya dipecat dan menerimanya kerana perkara itu adalah asam garam sebagai seorang jurulatih.


“Buat masa ini saya tiada maklum balas tentang kedudukan saya, mungkin dalam minggu ini tetapi segala keputusan yang dibuat akan saya terima.

Jika pengurusan merasakan memecat saya adalah yang terbaik buat pasukan saya tiada masalah, apa yang boleh saya lakukan sekarang adalah bekerja keras demi pasukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pengendali berasal dari Perancis itu merasakan pasukannya bermain dengan baik pada musim ini cuma beberapa kesilapan yang dilakukan menyebabkan mereka kini berada di zon penyingkiran.

Beliau juga turut menyalahkan keputusan pengadil yang menjadi punca pasukannya keciciran mata dalam beberapa perlawanan.

Jelasnya, musim ini Sri Pahang kehilangan kira-kira lima mata disebabkan keputusan pengadil yang tidak memihak mereka.

“Tahap bola sepak di negara ini semakin berkembang tetapi kualiti pengadil langsung tidak meningkat.

Ia bukan sahaja memberi kesan kepada kedudukan kami dalam liga tetapi juga semangat dan mental pasukan.”

Dalam pada itu beliau faham kekecewaan penyokong Tok Gajah terhadap kedudukan pasukan itu ketika ini dan memuji semangat mereka yang hadir menyokong setiap perlawanan.

Gamel juga berkata penyokong tahu apa yang sedang berlaku dalam pasukan dan dapat melihat beliau telah melakukan yang terbaik untuk pasukan.

Sementara itu, Gamel turut mengulas mengenai isu naturalisasi dua pemainnya iaitu Lee Tuck dan Sergio Aguero yang tidak dapat didaftarkan berikutan proses naturalisasi diperketatkan.

“Kami tak percaya apa yang berlaku kerana mereka dapat passport lepas itu peraturan itu berubah begitu. Jika anda ada hak untuk mengundi, anda ada hak untuk bermain bola sepak profesional jadi saya tak faham dan merasakan kami diberi layanan double standard.

Perkara ini sukar buat kedua-dua pemain ini kerana ia ‘membunuh’ mental mereka. Mungkin mereka akan berjumpa pihak MFL bersama peguam untuk selesaikan isu ini kerana mereka ada hak untuk berbuat demikian.”

Beliau pada masa sama turut mendesak pihak pengurusan pasukan untuk menyelesaikan perkara ini secepat mungkin kerana kedua-dua pemain ini masih mendapat gaji tetapi tidak dapat turun beraksi.