Junior Eldstal akan beraksi semula di Liga Malaysia?

1,063

Masa depan pertahanan kebangsaan, Junior Eldstal masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini sejak beliau mengumumkan telah meninggalkan kelab Thailand, Chonburi FC awal bulan lalu.

Sudah lebih sebulan berlalu, beliau masih belum diumumkan sebagai pemain untuk mana-mana kelab.


Eldstal juga lebih selesa mendiamkan diri apabila ditanya mengenai destinasinya selepas ini dan berkata tunggu sahaja nanti.

Sebelum ini namanya kuat dikaitkan dengan bekas kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) tetapi sejak jendela perpindahan kedua Liga Malaysia ditutup pada 24 Jun lalu tiada sebarang pengumuman daripada kelab itu.

Menurut laman Transfermarkt, pemain berusia 31 tahun itu kini merupakan seorang pemain ejen bebas sejak 1 Jun 2022.

Ini bermakna mana-mana kelab yang berhasrat untuk mendapatkan khidmatnya boleh melakukan sedemikian tanpa membayar sebarang yuran perpindahan.

Sudah tentu banyak pasukan di Liga Malaysia yang mempunyai tempat buat beliau dan tidak mahu melepaskan peluang mendapatkannya secara percuma.

Persoalannya, sekiranya mana-mana kelab berjaya mendapatkan tandatangannya ketika ini adakah beliau layak untuk beraksi memandangkan jendela perpindahan pemain sudah ditutup?

Mungkin juga beliau sudah ditandatangani oleh kelab tertentu tetapi masih belum diumumkan lagi? Perkara itu tidak mustahil kerana Eldstal sebelum ini seperti memberi bayangan sudah mempunyai pasukan baru berikutan kenyataan ‘tunggu sahaja nanti’.

Sekiranya situasi itu berlaku ini bermakna peminat bola sepak tempatan mungkin akan melihat kelibat Eldstal semula di Liga Malaysia tidak lama lagi.