MFL terima baik cadangan TMJ mengenai perubahan waktu perlawanan namun ia perlu dikaji terlebih dahulu

8,153

Sebelum ini, Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim Ismail (TMJ) telah mengusulkan agar jadual perlawanan Liga Malaysia dilangsungkan pada waktu petang.

Menurut sumber kepada Harimau Malaya, usul ini telah diterima baik oleh Malaysia Football League (MFL) yang menganggap perkara ini sebagai sebuah cadangan yang baik.


Perkara ini turut dapat dilihat menerusi sambutan baik daripada semua pihak sebelum ini pada saingan peringkat kumpulan AFC Champions League 2022 yang turut berlangsung pada sebelah petang.

Namun, pertukaran jadual perlawanan ini memerlukan proses kajian dan pertimbangan yang lebih terperinci oleh MFL dan kesemua badan bertanggungjawab bagi memastikan kelancaran liga akan terus terjamin.

MFL mungkin akan membuat analisis bagi mengenalpasti kesemua elemen yang perlu diberikan jika mahu merealisasikan perkara ini.

Pertama sekali, faktor utama seperti cuaca panas dan hujan yang tidak menentu di beberapa negeri akan menjejaskan usaha untuk melakukan perubahan ini secara drastik.

Tambahan pula, terdapat beberapa stadium yang digunakan oleh pasukan Liga M tidak mempunyai bumbung dan akan mengakibatkan sedikit masalah ekoran daripada cuaca panas di Malaysia yang tidak terkawal.

Pemilihan hari perlawanan juga memainkan peranan penting kerana buat masa ini, Liga M turut dimainkan pada pertengahan minggu yang merupakan hari bekerja.

Sekiranya susunan hari perlawanan dikekalkan, perkara ini akan menyukarkan peminat untuk turun ke stadium akibat dari kekangan waktu bekerja.

Kehadiran penyokong yang tidak ramai ke stadium akan sedikit sebanyak merencatkan kerancakkan saingan liga tatkala mereka adalah penyumbang utama kepada kemeriahan yang dialami selama ini.

Perubahan hari perlawanan sepenuhnya ke hujung minggu mungkin menjadi solusi terbaik bagi mengatasi masalah ini.

Pada masa yang sama, keputusan ini sukar dibuat kerana ada beberapa peraturan di negeri tertentu yang menetapkan sebuah perlawanan bola sepak hanya boleh dilakukan selepas sesuatu tempoh sahaja.

Tuntasnya, cadangan ini boleh dianggap sebagai antara inisiatif yang baik untuk terus merancakkan saingan liga namun secara realistiknya perkara ini belum boleh diaplikasi ke dalam saingan liga utama di Malaysia dalam masa terdekat.