Isu ‘kabel’, perkauman jadi barah dalam bola sepak tempatan?

1,481

Isu perkauman dalam bola sepak di Malaysia bukanlah sesuatu yang baru dan sering kali menjadi salah satu topik yang sering dibincangkan.

Bukan sahaja dalam kalangan penyokong malah dari segi pemilihan pemain di peringkat kelab juga, sama ada kelab profesional mahupun amatur, terdapat banyak dakwaan mengenai isu perkauman.


Dalam satu temubual bersama Harimau Malaya, wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran yang lebih dikenali sebagai Avinesh membangkitkan mengenai isu tersebut.

Menurutnya ia masih lagi berlaku pada hari ini sehinggakan ke peringkat akar umbi dan ada kelab yang memperuntukkan kuota untuk sesuatu bangsa.

Ramai juga netizen yang bersetuju dengan pendapat beliau dan berpendapat bahawa ia merupakan salah satu punca bola sepak di negara ini tidak berkembang.

Namun ramai yang berpendapat bahawa di sebalik isu perkauman, isu pilih kasih atau ‘kabel’ lebih kerap berlaku dalam bola sepak tempatan.

Berdasarkan komen netizen di laman sosial, rata-ratanya bersetuju bahawa isu pilih kasih sudah menjadi barah dalam bola sepak tempatan.

Menurut mereka masalah ini berlaku sejak dari peringkat sekolah lagi dan telah ‘membunuh’ banyak bakat-bakat muda.

Ada juga yang mendakwa bahawa terdapat kelab di negara ini yang membuat sesi pemilihan terbuka tetapi telah mempunyai nama pemain-pemain yang terpilih sejak awal.

Selain itu terdapat juga jurulatih yang memberi peluang kepada pemain kesayangan untuk beraksi walaupun ada pemain lain yang lebih baik dalam skuad.

Sepatutnya isu perkauman dan juga ‘kabel’ tidak harus timbul lagi di zaman bola sepak moden ini dan segala pemilihan haruslah telus dan berdasarkan merit

Jika perkara ini masih berlarutan, negara akan kehilangan banyak bakat yang berpotensi menjadi seorang bintang pada masa hadapan.

Sukar sebenarnya untuk mengubah perkara ini sekiranya tidak timbul kesedaran dalam diri dan tiada perasaan untuk melihat bola sepak tempatan pergi lebih jauh.