FAM perjelas sebab gambar Malayan Tigress tidak berkualiti

2,984

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam dikecam hebat selepas perlawanan Piala AFF Wanita antara Malaysia dan Singapura gara-gara memuatnaik gambar rasmi perlawanan dengan kualiti yang tidak memuaskan.

Peminat bola sepak tempatan turut membandingkan gambar tersebut dengan gambar yang dimuatnaik oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) yang jauh lebih baik dan jelas.


Jika dibandingkan gambar yang disediakan oleh kedua-dua badan induk itu, kelihatan perbezaan yang amat jauh seperti langit dan bumi.

Menjelaskan perkara itu, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata gambar yang dimuatnaik di media sosial rasmi FAM itu adalah gambar rasmi daripada pihak AFF.

“Sebenarnya gambar itu adalah gambar rasmi daripada AFF, kami dapat daripada folder yang mereka beri kepada semua pasukan yang bertanding.

Saya diberitahu bahawa gambar perlawanan antara pasukan Indonesia dan Thailand juga sama kualitinya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sementara itu, ketiadaan siaran langsung perlawanan itu juga turut menjadi persoalan para peminat yang mahu menonton pasukan Malayan Tigress beraksi.

Ramai yang bertanya mengapa tiada usaha oleh FAM untuk menyiarkan perlawanan skuad wanita secara langsung kerana ramai yang ingin melihat perlawanan tersebut tetapi kecewa apabila tiada siaran langsung perlawanan itu.

Mungkin betul bola sepak wanita masih tidak mendapat sambutan seperti bola sepak lelaki tetapi tanpa liputan yang meluas, bagaimana peminat bola sepak tempatan mahu mengikuti perkembangan skuad wanita negara?

Mungkin selepas ini FAM boleh mempertimbangkan untuk menyediakan siaran langsung supaya peminat bola sepak tempatan lebih cakna dengan perkembangan bola sepak wanita negara.