Walaupun menang, Hassan Sazali akui pemainnya masih belum dapat rentak sebenar

420

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-19, Hassan Sazali gembira apabila percaturan menentang pasukan Kemboja dalam saingan Kumpulan B Piala AFF B-19 membuahkan hasil apabila mereka berjaya mencatat kemenangan 2-1.

Hassan berkata demikian selepas mengulas aksi pemainnya yang dilihat seperti memperlahankan permainan sebaik sahaja masuk ke separuh masa kedua.


“Untuk perlawanan pertama ini pemain-pemain masih belum dapat rentak sebenar mereka lagi.

Jadi saya berharap selepas ini persembahan mereka akan menjadi lebih baik pada perlawanan seterusnya,”

katanya.

Pada perlawanan petang tadi, skuad Harimau Muda bermula garang apabila mereka bermain dengan intensiti yang tinggi dan mengawal permainan dengan begitu baik sekali.

Sumber foto: FAM

Malaysia membuka akaun jaringan seawal minit ke-13 menerusi Najmudin Akmal yang berjaya menyambut hantaran cantik daripada rakan sepasukan sebelum tenang menewaskan penjaga gol Kemboja.

Pada minit ke-30, skuad negara menggandakan jaringan menerusi satu lob yang sangat cantik oleh Haiqal Haqeemi dan mereka menamatkan separuh masa pertama dengan mendahului 2-0.

Bagaimanapun masuk separuh masa kedua pemain negara mula mengundurkan serangan dan ia telah memberi ruang kepada pihak lawan mengatur serangan yang mana Chanvibol Davit berjaya merapatkan jurang pada minit ke-56.

Dalam pada itu, Hassan turut mendedahkan beberapa pemain termasuk penjaga gol mengalami kecederaan namun beliau masih belum mendapat tahu kecederaan yang dialami pemainya serius atau tidak.

Beliau bagaimanapun tidak bimbang dengan situasi tersebut kerana beliau dan barisan kejurulatihan sudah bersiap sedia dengan situasi ini termasuk tidak mempunyai kesebelasan utama tetap.

“Untuk kejohanan karnival seperti ini saya perlu membuat penggiliran pemain dan tidak boleh tertumpu pada kesebelasan utama sahaja. Walaupun saya tidak menurunkan Omar Raiyan pada perlawanan tadi, saya mungkin akan menurunkannya pada perlawanan selepas ini.”

Terdahulu Hassan yang pada mulanya merancang mahu bawa 23 pemain ke Indonesia mengubah rancangannya di saat-saat akhir apabila beliau mengambil keputusan untuk bawa 25 pemain bagi menghadapi saingan Piala AFF B-19 kali ini.

Malaysia selepas ini akan bertemu dengan pasukan Singapura pada 7 Jun ini.