Ashman Rizal tak ingin pulang ke Malaysia pada usia muda, berminat wakili Kuching City FC satu hari nanti

6,359

Pemain muda Malaysia yang bermain di Denmark, Ashman Rizal tidak terfikir untuk pulang bermain bersama kelab tempatan ketika beliau masih muda dan mahu mengembangkan kariernya di Eropah terlebih dahulu.

Ashman yang ketika ini beraksi bersama skuad B-15 Esbjerg fB, pasukan di liga divisyen dua Denmark berkata masih banyak lagi ilmu yang ingin ditimba olehnya sebelum berfikir untuk kembali ke Malaysia.


“Saya tak rasa ia akan berlaku dalam masa terdekat tetapi kalau saya balik sudah tentu saya mahu berkongsi pengalaman di Eropah dengan pasukan tempatan kerana budaya bola sepak di sini amat berbeza.

Buat masa ini saya rasa masih banyak lagi yang perlu saya belajar terutama dari segi taktikal dan kelajuan permainan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ashman berkata sekiranya beliau kembali ke Malaysia satu hari nanti beliau berhasrat untuk mewakili kelab Liga Perdana, Kuching City FC.

Menurut pemain berusia 14 tahun itu, beliau tertarik dengan suasana di kelab itu ketika menyertai sesi latihan mereka pada Februari lalu.

Beliau yang bermain di posisi pertahanan tengah menyifatkan sesi latihan kelab itu sebagai menyeronokkan dan ia mempunyai sistem sokongan yang amat baik.

“Sesi latihan di sana amat seronok, jurulatih mereka seorang yang serius dan sering memberi motivasi, para pemain juga saling bantu membantu antara satu sama lain.

Saya mempunyai ramai keluarga di Kuching dan saya harap dapat banggakan mereka satu hari nanti.”

Ashman mula bermain bola sepak di Denmark pada tahun 2016 bersama pasukan bola sepak Copenhagen International School.

Tahun berikutnya keluarganya berpindah ke Esbjerg dan terpilih untuk menyertai pasukan B-10 Esbjerg fB selepas melalui satu sesi pemilihan.

Selain pertahanan tengah, beliau juga boleh menggalas tugas sebagai pertahanan kiri dan kanan.