SSI miliki fasiliti berkelas dunia, pilihan terbaik untuk jadi rumah baru Harimau Malaya

5,712

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar telah memberi gambaran bahawa sebuah venue luar Lembah Klang akan dipilih sebagai tuan rumah kepada beberapa perlawanan Piala AFF 2022 yang akan dianjurkan penghujung tahun ini.

Kembali mengikut format yang dipertandingkan pada tahun 2018, setiap negara sekurang-kurangnya akan berpeluang menjadi tuan rumah sebanyak dua kali di peringkat kumpulan.


Ini kerana kejohanan kali ini akan menggunakan forrmat home-and away seperti yang pernah digunapakai sebelum ini.  

Saifuddin telah mengemukakan beberapa pilihan seperti Stadium Hang Jebat, Stadium Paroi dan Stadium Darul Makmur yang dilihat sesuai untuk disenarai pendek sebagai home Harimau Malaya untuk dihantar ke Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi mendapatkan kelulusan.

Hal ini kerana, gelanggang keramat Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak sesuai untuk digunakan selepas aksi kelayakan Piala Asia 2023 dan akan terus menjalani proses baik pulih.

Namun, perlu diakui bahawa venue terbaik yang harus dijadikan sebagai pilihan utama oleh FAM adalah Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang dimiliki oleh pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sejak perasmiannya, SSI telah dikenali dengan kualiti baik dari segi fasiliti termasuk penjagaan padangnya yang berkelas dunia.

Rumput berkualiti tinggi jenis Zoysia Zeon yang digunakan di stadium tersebut akan membantu pemain untuk mendapatkan pergerakan bola yang lancar.

Perkara ini jelas akan memberi kelebihan kepada kesemua pasukan untuk mempamerkan aksi terbaik mereka di kejohanan tersebut.

Berbeza dengan stadium yang lain tidak mempunyai fasiliti lengkap termasuk keadaan padang yang berlopak dan berlubang akan menjejaskan rentak permainan pasukan.

Tambahan pula, SSI sebelum ini pernah menjadi tuan rumah kepada kejohanan berprestij Asia seperti AFC Champions League (ACL) yang telah berlangsung pada April lalu.

Fasiliti seperti ini akan menjadi tarikan utama dalam memberikan keselesaan kepada peminat yang hadir ke stadium untuk memberikan sokongan.

Stadium ini juga akan menjadi pilihan terbaik sebagai gelanggang pilihan pada perlawanan persahabatan antarabangsa yang dijadual pada September dan November.

Meskipun mempunyai kapasiti yang rendah berbanding SNBJ, dengan kapasiti 40,000, SSI dipercayai masih mampu menampung kehadiran penyokong Harimau Malaya yang akan membanjiri stadium.

Tambahan pula, kebanyakan pemain kebangsaan juga bermain untuk JDT dan ini akan menyenangkan mereka dari segi logistik.  

Piala AFF ini akan diadakan bermula 23 Disember 2022 sehingga 15 Januari 2023.

Edisi terakhir Piala AFF diadakan secara berpusat di Singapura pada tahun lalu ekoran daripada penularan wabak COVID-19.