KHM tak patut ‘mengemis’ untuk imbuhan, skuad hoki negara sememangnya layak dapat bajet

1,077

Selepas berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia 2023 Januari depan, ketua jurulatih negara, Arul Selvaraj sudah merangka perancangan untuk mempersiapkan anak buahnya ke kejohanan yang akan berlangsung di India.

Skuad negara layak ke Piala Dunia selepas menjadi naib juara di Piala Asia Jun lalu dan ia menjadi kali ketiga berturut-turut skuad negara berjaya melayakkan diri ke pentas tertinggi tersebut.


Namun agak ‘pelik’ apabila Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dilaporkan sedang merangka kertas kerja untuk memohon imbuhan daripada kerajaan sebagai persiapan ke kejohanan itu.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata dana tersebut adalah untuk melantik jurulatih fizikal yang berkepakaran tinggi dan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Kementerian Kewangan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Sepatutnya pihak KBS dari awal lagi sudah perlu ‘turun padang’ sendiri bagi membantu persiapan Speedy Tigers dan memberikan apa sahaja yang diperlukan oleh mereka menghadapi Piala Dunia.

Tidak perlu rasanya sehingga pihak KHM yang terpaksa ‘mengemis’ untuk bajet bagi melakukan persediaan.

Selain itu, ia juga menunjukkan bahawa skuad hoki negara selama ini bermain tanpa jurulatih fizikal yang berkepakaran tinggi, walhal mereka adalah satu pasukan berkelas dunia.

Bagaimana mereka mahu bersaing dengan kuasa hoki dunia sekiranya tidak memiliki jurulatih yang berkualiti tinggi?

Sebelum ini juga kecoh mengenai ketiadaan imbuhan yang dicadangkan untuk pasukan hoki negara selepas layak ke Piala Dunia 2023, berbeza dengan skuad bola sepak negara yang diumumkan imbuhan buat mereka hanya dua hari selepas layak ke Piala Asia 2023.

Imbuhan buat Speedy Tigers hanya diumumkan bersama-sama imbuhan buat skuad bola sepak, jika Harimau Malaya gagal mara ke Piala Asia 2023, mungkin kejayaan skuad hoki akan dilupakan begitu sahaja.

Ia seakan-akan menunjukkan adanya ‘double standard’ antara sukan-sukan di negara ini.

Pengurus pasukan, Datuk Mirnawan Nawawi dan Arul yang merupakan pemain kebangsaan sebelum ini pastinya sudah lebih arif mengenai perkara ini.

Apa lagi yang perlu dilakukan oleh skuad hoki negara supaya tidak terus dianaktirikan di negara sendiri?