Dinamo Minsk ‘target’ Saddil, perlu bantu Sabah FC menang Liga Super terlebih dahulu
Penyerang Sabah FC dari Indonesia, Saddil Ramdani berkemungkinan akan terus berkelana ke luar negara setelah dikaitkan dengan perpindahan ke gergasi Belarus, Dinamo Minsk.
Dengan persembahan cemerlang Saddil, Sabah dilihat sebagai pencabar utama kepada juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) di tangga teratas Liga Super.
Namun begitu, pasukan Sang Badak masih boleh memanfaatkan khidmat Saddil sekurang-kurangnya sehingga selesai musim ini kerana pemain tersebut perlu menunggu tempoh akhir kontraknya pada penghujung bulan November tahun ini sebelum boleh berhijrah.
Saddil memang cukup dikenali di Liga Super dengan kemampuan dan kemahiran individu yang dimilki olehnya berdasarkan aksi semasa bersama pasukan kendalian ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.
Kebolehan pemain lincah ini menggelecek dan meloloskan diri daripada keadaan yang sukar menjadi antara kelebihan untuk beliau terus berjaya mempamerkan aksi cemerlang setiap kali diturunkan.
Pada masa yang sama, keazaman untuk terus mengembangkan kariernya di luar negara menjadi antara faktor utama yang sentiasa mendorong pemain ini mencapai tahap tertinggi.
Beliau mula berkelana keluar dari Indonesia seawal umur 20 tahun untuk menyertai pasukan Sri Pahang FC di Liga Malaysia.
Aksi cemerlang beliau di Liga M turut berjaya menarik perhatian pengendali skuad kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong yang turut menyenaraikan beliau pada beberapa siri perlawanan sebelum ini termasuk pusingan kelayakan Piala Asia 2023.
Perpindahan ke liga Eropah ini akan menjadi ‘batu loncatan’ kepada beliau yang telah dicanang-canang sebagai salah seorang calon ketua pasukan skuad Garuda di masa hadapan.
Saddil seharusnya tidak terkesan dengan situasi ini dan menjadikannya sebagai motivasi untuk beliau terus mempamerkan aksi cemerlang bersama skuad Sabah.
Gerakan dan lorongan merbahaya dari pemain ini akan mampu membantu pasukan Borneo tersebut untuk terus menghambat kedudukan JDT dan tidak mustahil untuk mereka melakukan kejutan pada musim ini.
Saddil yang telah dibawa masuk pada Februari 2021 merupakan antara nadi utama pasukan di samping kehadiran pemain berpengalaman seperti Baddrol Bakhtiar, Amri Yahyah dan Rizal Ghazali.
Gandingan pemain muda dan berpengalaman ini nyata menjadi antara kunci utama pasukan Sabah untuk mencatatkan tujuh kemenangan daripada sepuluh perlawanan setakat ini.
Pemain sayap tersebut telah berjaya menjaringkan dua gol berserta tiga bantuan jaringan sepanjang diturunkan pada musim ini.
Saddil sebelum ini turut berjaya membantu pasukan kebangsaannya layak ke Piala Asia tahun depan.