Ahsan pamer semangat kesukanan, contoh terbaik untuk pemain Malaysia
Tindakan pemain beregu utama Indonesia, Mohammad Ahsan yang memberi peluang kepada lawannya untuk berehat di tengah aksi perlawanan harus dipuji.
Perkara ini berlaku semasa perlawanan menentang pasangan beregu Malaysia, Tan Kian Meng dan Tan Wee Kiong di kejohanan Malaysia Masters 2022 yang bermula semalam (5 Julai).
Kian Meng yang dilihat terlampau penat diberi peluang rehat apabila Ahsan meminta gelanggang di bahagiannya untuk dikeringkan meskipun tidak basah.
Semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh pemain ini mendapat pujian dari orang ramai terutama sekali penyokong yang hadir untuk menyaksikan kejohanan tersebut secara langsung.
Ahsan dan pasangannya, Hendra Setiawan cukup dikenali dengan semangat kesukanan mereka yang hebat di beberapa siri kejohanan sebelum ini.
Situasi ini jelas menunjukkan bahawa kehebatan pasangan ini bukan hanya terhad di atas gelanggang malah juga berjaya menjadi contoh yang terbaik kepada semua pemain badminton lain.
Ahsan dan Hendra yang sering tampil ke setiap kejohanan dengan tingkah laku yang tenang menyebabkan mereka mudah didekati bukan sahaja oleh pemain lain malah peminat di serata dunia.
Namun, kehebatan mereka di atas gelanggang tidak dapat disangkal menerusi beberapa kejayaan yang telah dicapai oleh pasangan berpengalaman ini.
Kejayaan tertinggi pasangan ini adalah semasa memenangi Kejohanan Dunia sebanyak dua kali, 2015 dan 2019.
Di samping itu, pasangan yang digelar sebagai ‘The Daddies’ ini juga merupakan antara nadi utama kepada kejayaan skuad Indonesia memenangi Piala Thomas pada tahun 2020.
Semangat dan budi pekerti seperti ini perlu dicontohi oleh para pemain badminton negara yang dilihat masih belum mencapai tahap sebegini.
Kemenangan tetap menjadi matlamat utama di setiap perlawanan namun semangat kesukanan yang tinggi akan mampu mengangkat seseorang pemain itu untuk berada di kelas mereka yang tersendiri.
Pada masa yang sama, semangat kesukanan akan menjadi motivasi terbaik kepada seseorang pemain untuk sentiasa memberikan yang terbaik.
Pasangan tersebut kini berada di ranking ke-2 dunia di belakang sebuah lagi pasangan dari Indonesia, Kevin Sanjaya dan Marcus Gideon.