Penjaring gol kemenangan Bahrain menentang Malaysia sertai Persija Jakarta

1,603

Mungkin ramai penyokong bola sepak tempatan yang masih ingat perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 bulan lalu antara Malaysia dan Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pada minit ke-79, ketika kedudukan terikat 1-1, harapan penyokong Harimau Malaya untuk menyaksikan negara layak ke Piala Asia secara merit buat pertama kali dalam tempoh 42 tahun seakan-akan hampir berkecai selepas Bahrain dihadiahkan sepakan penalti


Abdulla Yusuf Helal kemudian menyempurnakan penalti tersebut untuk menjadikan kedudukan 2-1 yang kekal sehingga tamat perlawanan.

Beliau kini baru sahaja berpindah daripada kelab Republik Czech, Slavia Prague ke kelab Indonesia, Persija Jakarta.

Perpindahan itu pastinya menjadi satu perkara yang besar buat penyokong Persija kerana berjaya menyambar bekas pemain yang pernah beraksi di kelab Eropah dan juga di Liga Juara-Juara.

Abdulla sudah tiga musim gagal mendapatkan tempat di Slavia Prague dan dipinjamkan ke kelab Bohemians dan Slovan Liberec sebelum ini, jadi perpindahan ini merupakan peluang buatnya untuk menaikkan kembali kariernya.

Tambahan pula, Persija merupakan salah satu kelab terbesar di Indonesia dan sebuah kelab yang mempunyai sejarah yang hebat dalam bola sepak Indonesia.

Persija juga merupakan antara calon juara Liga 1 Indonesia musim baru ini berdasarkan kesungguhannya membawa masuk nama besar bagi menghadapi saingan musim baru.

Selain Abdulla, Persija juga baru mengumumkan kedatangan bekas pemain Bundesliga, Hanno Behrens yang pernah bermain bersama Nurnberg.

Dengan kehadiran bekas pemain-pemain yang pernah beraksi di liga utama Eropah, ini pasti akan menghangatkan lagi saingan liga Indonesia musim ini.