Gagal teruskan momentum di Bali, pertahanan Kedah perlu dapatkan konsistensi segera

460

Pasukan Kedah Darul Aman FC gagal meneruskan rentak kecemerlangan setelah tewas tipis di tangan Terengganu FC pada perlawanan Piala FA semalam.

Jaringan pemain Terengganu, Faiz Nasir menjadi pemisah di antara kedua-dua pasukan yang dilihat saling memberi asakan sepanjang 90 minit perlawanan.


Barisan pertahanan yang baru digandingkan ini masih belum berjaya menunjukkan tahap konsistensi yang diinginkan tatkala mereka dilihat gagal untuk menghalang kemaraan barisan serangan Sang Penyu.

Gandingan pemain baru, Akmal Zahir bersama tonggak utama, Rodney Celvin di bahagian tengah pertahanan tidak dapat meneruskan momentum yang dilakukan sebelum ini pada perlawanan pusingan kumpulan Piala AFC 2022.

Akmal yang sebelum ini dilihat sebagai pengganti terbaik untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain import, Marc Vales masih gagal mempamerkan aksi terbaiknya.

Ada beberapa kesilapan di barisan pertahanan yang telah menghadirkan peluang keemasan kepada barisan serangan Terengganu namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, Ifwat Akmal yang diletakkan sebagai pilihan utama.

Vales dijangka akan terlepas aksi selama dua bulan ekoran daripada kecederaan yang dihadapinya pada awal musim.

Ketiadaan Vales ini akan terus menguji kemampuan ketua jurulatih, Aidil Sharin bagi mendapatkan kombinasi yang sesuai di kalangan pemain pertahanan sedia ada untuk menggalas cabaran sehingga ke penghujung musim.

Banyak kemungkinan yang akan berlaku ditambah pula aksi yang tidak konsisten oleh pasukan ini sejak awal musim.

Bahagian tengah Kedah juga perlu diperkemaskan semula kerana terdapat kekosongan besar di bahagian tersebut yang dilihat telah membuka ruang kepada perancang Terengganu, Manuel Ott untuk bebas mengawal bola pada perlawanan tersebut.

Tambahan pula, pasukan ini akan meneruskan saingan di kejohanan Piala AFC selepas ini dengan bertemu jaguh Indonesia, PSM Makassar pada bulan Ogos.

Aidil juga perlu segera menyiapkan pasukan ini bagi terus memberi saingan di Liga Super tatkala mereka mempunyai beberapa perlawanan tertunda terutamanya menentang pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Diharap agar pasukan ini akan dapat memperoleh rentak terbaik mereka semula dan kembali memberi saingan yang kuat di Liga Super.