Syukri Baharun akui kehebatan pasukan perubatan Melaka United, mampu pulihkan pemain dalam masa yang singkat                 

5,791

Pemain muda Melaka United, Syukri Baharun mengakui kehebatan pasukan perubatan kelab tersebut dalam memastikan kesemua pemain bersedia untuk beraksi.

“Pasukan perubatan Melaka United memang baik dalam menguruskan kecederaan pemain.

Saya berjaya kembali bermain dalam tempoh yang singkat meskipun berhadapan kecederaan pada awal musim.”

katanya kepada Harimau Malaya.

Syukri terlepas tiga aksi Liga Super di awal musim ekoran daripada kecederaan yang dihadapi olehnya sebelum ini.


Pada masa yang sama, pemain tengah tersebut berasa semakin gembira dengan keadaan pasukannya yang telah berjaya menunjukkan aksi memberangsangkan pada beberapa perlawanan sebelum ini.

Keharmonian pasukan dapat dikembalikan setelah masalah demi masalah yang dihadapi pada awal musim berjaya diatasi.

Pada awal musim, mungkin ada sedikit masalah yang telah berlaku namun telah berjaya diselesaikan.

Pihak pengurusan semakin bertambah baik dalam menjaga kebajikan para pemain dan staf pasukan Melaka United.”

Dalam pada itu, pemain berusia 23 tahun tersebut mengakui bahawa jadual padat Liga Malaysia musim ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada persediaan pasukan.

Hal ini turut dialami oleh pasukan Melaka sewaktu perlawanan dengan pasukan Selangor FC.

Ketua jurulatih, Asri Ninggal dilihat berjaya memanfaatkan rehat singkat yang dimiliki oleh pasukannya untuk memperoleh kemenangan penting menentang Gergasi Merah.

“Barisan kejurulatihan pasukan Melaka berjaya membantu menjalankan proses recovery dengan baik walaupun masa terlampau singkat.”

Terdahulu, Melaka telah diundi untuk bertemu dengan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pusingan suku akhir Piala FA.

Syukri optimis bahawa kesemua pemain akan dapat meneruskan momentum yang dimiliki pada perlawanan yang akan datang.

“Kesemua pemain akan berjuang sehabis baik walaupun akan berlawan dengan pasukan yang kuat seperti JDT.

Kelebihan bermain di laman sendiri akan digunakan oleh para pemain untuk memberikan aksi berkualiti.”

Sebelum ini, pasukan Melaka berjaya mengikat JDT seri 1-1 pada perlawanan Liga Super yang turut berlangsung di Stadium Hang Jebat.

Syukri merupakan antara muka baru pasukan Hang Tuah yang dibawa masuk pada awal musim dari pasukan Sabah bersama seorang lagi penyerang muda, Harith Naem.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen