Berbelanja melebihi kemampuan, Malaysia bernasib baik tidak diberi amaran oleh FIFPro

2,363

Masalah gaji dalam sukan bola sepak dunia menjadi semakin kritikal berdasarkan amaran yang telah dikeluarkan oleh Persekutuan Pemain Bola Sepak Profesional Antarabangsa (FIFPro) terhadap beberapa liga yang mempunyai masalah tunggakan gaji yang teruk.

Gergasi Asia, China merupakan salah sebuah negara Asia yang telah disenaraikan di samping Arab Saudi.


Pembubaran kelab dan kegagalan pembayaran gaji merupakan antara penyebab utama ramai pemain mula mengangkat kaki berhijrah dari liga di negara-negara tersebut.

Daripada senarai yang dikeluarkan oleh FIFPro, Greece merupakan salah sebuah negara yang mempunyai bilangan pemain terbanyak dalam masalah tunggakan gaji sejak dua tahun yang lalu.

Sebelum ini, China terkenal dengan kemampuan pasukan liganya untuk membawa masuk permain terkenal seperti Paulinho dan Alberto Gilardino yang menyertai pasukan Guangzhou FC.

Pembelian-pembelian besar ini merupakan antara penyebab utama kepada kejatuhan pasukan tersebut yang telah menjadi pasukan belasahan di saingan AFC Champions League (ACL) 2022 baru-baru ini.

Dalam pada itu, Malaysia dikira bertuah kerana tidak turut disenaraikan meskipun terdapat beberapa kes tunggakan gaji yang masih tidak selesai dan bertambah hingga ke hari ini.

Perbelanjaan melebihi kemampuan oleh beberapa kelab di Liga Malaysia menjadi penyebab utama kepada isu tunggakan gaji yang menjadi masalah utama sejak sekian lama.

Lebih parah, perkara ini berlarutan sehingga menyebabkan pembubaran beberapa pasukan seperti MBPJ FC suatu ketika dahulu.

Pendekatan yang diambil oleh kelab Petaling Jaya City FC yang menggunakan sepenuhnya khidmat dari pemain tempatan boleh dijadikan sebagai contoh terbaik kepada mana-mana pasukan yang belum mempunyai kestabilan dari segi kewangan.

‘Ukur baju di badan sendiri’ merupakan panduan terbaik untuk kesemua pasukan di Malaysia agar masalah ini dapat terus dibendung dari ekosistem bola sepak negara.

Isu tunggakan gaji dan pembubaran pasukan perlu segera dihapuskan bagi merealisasikan usaha meningkatkan mutu bola sepak Malaysia.

Banyak bakat-bakat berkualiti yang telah disia-siakan ekoran daripada masalah seperti ini.

Terdahulu, Perlis FC merupakan salah satu pasukan yang dibubarkan akibat masalah tunggakan gaji.

Pasukan bercita-cita besar tersebut telah merekrut pemain bintang seperti Safee Sali dan Badhri Radzi yang hanya sempat bermain untuk dua perlawanan sahaja sebelum dibubarkan di awal musim.

Diharap agar pihak pengurusan bola sepak di Malaysia selepas ini akan lebih bijak dalam mengatur perbelanjaan setiap pasukan bagi memastikan keharmonian dan usaha pembangunan sukan ini dapat terus dijalankan.