Skandal pengaturan perlawanan tosik bola sepak, Malaysia harus ambil iktibar dari kejadian lampau

2,115

Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Sierra Leone telah membuka kertas siasatan terhadap dua keputusan perlawanan yang begitu meragukan.

Kekalahan 95-0 Lumbenbu United kepada pasukan Kahula Rangers dan kemenangan 91-1 Gulf FC ke atas Koquima Lebanon menimbulkan keraguan ramai pihak kerana jumlah jaringan tersebut sangat janggal dan tidak masuk akal.


Skandal pengaturan perlawanan merupakan antara isu besar arena bola sepak yang masih gagal dibendung sehingga ke hari ini.

Perkara ini akan memberi imej yang buruk kepada bola sepak sebagai sukan nombor satu di dunia.

Terdahulu, kes seperti ini juga pernah berlaku di kejohanan-kejohanan besar bola sepak seperti Piala Dunia.

Lebih menyedihkan, bola sepak negara juga pernah menghadapi zaman gelap yang memperlihatkan seramai 78 orang pemain di tahun 1994 sehingga 1995 telah digantung ekoran terlibat dengan skandal rasuah dan pengaturan perlawanan.  

Antara pemain utama yang terlibat adalah penyerang prolifik pasukan Sabah, Matlan Marjan, bekas ketua pasukan Selangor, Abdul Malek Rahman dan bekas penyerang Kedah, Faridzuan Che Hamid.

Akibat dari kesalahan itu, mereka telah digantung daripada menyertai sebarang aktiviti bola sepak tempatan seumur hidup.

Situasi ini menyebabkan kejatuhan beberapa pasukan utama di Malaysia pada ketika itu terutamanya Sabah yang berhadapan dengan kontroversi yang telah merosakkan nama baik pasukan tersebut.

Selain dikenakan penggantungan seumur hidup dari sebarang aktiviti bola sepak tempatan, enam orang pemain pasukan Sabah termasuk Matlan turut diberikan hukuman dibuang daerah ke beberapa kawasan pedalaman Sabah selama dua tahun.

Tempoh peralihan Liga Malaysia yang baru beralih daripada semi-pro kepada profesional pada ketika itu menarik minat ramai bookie untuk menawarkan sejumlah habuan yang besar kepada para pemain bagi mengatur perlawanan.

Hal ini yang menyebabkan banyak pemain ‘gelap mata’ dan membuat keputusan yang salah pada ketika itu.  

Diharap agar peristiwa buruk seperti ini tidak akan kembali berulang di negara kita tatkala usaha untuk terus meningkatkan mutu bola sepak Malaysia di persada dunia sedang giat dijalankan.

Jadikan peristiwa pahit ini sebagai pengajaran terbaik untuk memastikan masa depan bola sepak yang cerah untuk negara.

Kesemua pasukan termasuk pemain dan barisan kejurulatihan perlu memainkan tanggungjawab bagi mengelakkan dari menjadi alat kepada perilaku negatif ini.

Setelah lebih dua dekad digantung, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah memberi pengampunan kepada 78 orang pemain yang disabitkan kesalahan.

Untuk makluman, Matlan cukup dikenali dengan kehebatannya menjaringkan dua gol dalam sebuah perlawanan persahabatan menentang England pada tahun 1991.