Jadi mangsa perkauman di Eropah, Son tunjukkan cara terbaik tutup mulut rasis
Mungkin ramai yang masih ingat keajaiban yang dilakukan pasukan Korea Selatan pada Piala Dunia 2018 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan F apabila menewaskan Jerman 2-0 di Kazan Arena, Rusia.
Kekalahan itu bukan sahaja menyebabkan juara bertahan itu pulang awal daripada kejohanan tersebut tetapi juga malu besar selepas menduduki tangga tercorot kumpulan.
Walaupun Korea Selatan gagal mara ke peringkat seterusnya, perlawanan itu tetap menjadi satu momen yang indah bagi kapten, Son Heung-min yang menjaringkan gol kedua pasukannya.
Ini kerana, Son yang memulakan karier profesionalnya di Jerman bersama kelab Hamburger SV II mendedahkan bahawa beliau sering menerima kata-kata berbaur perkauman sepanjang lima tahun di sana.
Son sempat bermain untuk skuad utama Hamburger SV dan Bayer Leverkusen sebelum berpindah ke England bersama Tottenham Hotspur pada tahun 2015.
Pemain berusia 30 tahun itu berkata ketika perlawanan tersebut beliau berasa seperti dapat membalas dendam terhadap rakyat Jerman apabila melihat mereka menangis selepas pasukan mereka tersingkir awal.
Beliau juga berkata pengalaman berdepan dengan masalah perkauman di negara itu membuatkannya bekerja lebih keras lagi bagi menutup mulut mereka yang rasis terhadapnya.
Di Malaysia juga, isu perkauman juga wujud sejak dari dulu lagi walaupun negara ini hidup berbilang bangsa.
Dalam satu temubual bersama Harimau Malaya, wartawan sukan terkemuka negara, T. Avineshwaran yang lebih dikenali sebagai Avinesh mengatakan bahawa masalah perkauman dalam bola sepak tempatan masih lagi berlaku pada hari ini sehinggakan ke peringkat akar umbi.
Sebelum ini pemain KL City FC, Kenny Pallraj pernah meluahkan rasa kesal dengan komen-komen berbaur perkauman oleh netizen terhadapnya selepas insiden kad merah dalam perlawanan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) April lalu.
Pengalaman yang dilalui Son ini adalah contoh terbaik bagaimana untuk membalas segala perbuatan toksik, termasuk kata-kata perkauman yang dilemparkan.
Ia juga menunjukkan bahawa kekuatan mental adalah penting dalam menghadapi serangan perkauman.
Son mengajar orang ramai bahawa daripada berasa sedih dan berasa lemah semangat apabila berdepan dengan serangan perkauman, apa yang perlu dilakukan adalah bekerja lebih keras untuk menutup mulut haters dan pengkritik.
Dengan kerja kerasnya, beliau berjaya meraih banyak anugerah seperti Anugerah Puskas, pemain terbaik Asia, Kasut Emas Liga Perdana Inggeris dan banyak lagi.
Bagi pemain dari Asia yang mahu mengembangkan karier ke Eropah, kisah Son juga adalah bukti bahawa berpindah ke benua itu tidak semuanya indah, dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang terpaksa dilalui.