Daripada hanya bermain game sebagai hobi, ke pengulas Bahasa Melayu pertama di Piala Dunia Kelab FIFAe

580

Pengulas E-sukan negara, Hafiz Sudin merupakan seorang pengulas yang dikenali di dalam permainan FIFA ekoran daripada kehebatan beliau mengulas beberapa kejohanan besar sebelum ini.

Hafiz memulakan karier sebagai seorang pengulas permainan Defense of the Ancients (DotA) sebelum mengembangkan kebolehannya ke permainan yang lain.


“Saya mula berkecimpung di dalam bidang pengulasan DotA sejak berada di universiti sehinggalah tahun 2016 apabila saya dipanggil untuk mengulas kejohanan FIFA anjuran syarikat Garena.”

katanya kepada Harimau Malaya.

Garena merupakan sebuah organisasi permainan dari Singapura yang amat dikenali menerusi beberapa permainan dalam talian yang diperkenalkan oleh mereka seperti Blackshot dan League of Legends.

Peluang tersebut menjadi titik permulaan kejayaan Hafiz yang daripada hanya menggunakan E-sukan untuk mengisi masa lapang kepada sebuah kerjaya utama beliau sekarang.

Lebih manis, kehebatan beliau dalam bidang pengulasan disedari oleh pihak Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang telah memilih beliau selaku pengulas pada kejohanan Piala Dunia Kelab FIFAe 2021.

“Ketika saya menerima email jemputan rasmi dari FIFA untuk mengulas dalam Bahasa Melayu merupakan antara kenangan manis sepanjang saya bergelar seorang pengulas E-sukan.

Tambahan pula, itu berkemungkinan kali terakhir untuk melihat Bahasa Melayu digunakan di kejohanan besar seperti ini.”

Pertukaran format penganjuran selepas ini akan menyaksikan pertandingan akan kembali diadakan di negara tuan rumah seperti sedia kala.

Situasi ini akan menyebabkan pihak penganjur hanya menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama yang digunakan oleh pengulas rasmi kejohanan.

Pada masa yang sama, Hafiz dan seorang lagi pengulas, Matthews Izzac telah menjadi pengulas pertama dari Malaysia yang dipilih ke kejohanan berprestij E-sukan dunia tersebut.

Kejayaan ini turut tercatat di Malaysia Book of Records yang telah mengiktiraf pencapaian kedua-dua individu ini.

Diharap agar kita dapat melihat lebih ramai wakil dari Malaysia yang akan terus mengharumkan nama negara di dalam bidang E-sukan.

Terdahulu, Luqman Haziq dan Ahmad Akmal berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia kelab FIFAe 2022 yang akan bermula pada 20 Julai ini.

Semoga kejayaan skuad FIFA negara, eRimau mendapatkan pingat gangsa di temasya Sukan SEA Hanoi dapat dijadikan sebagai motivasi untuk wakil negara ini untuk terus mempamerkan aksi terbaik.