Permata baru Jepun, Karou Mitoma sedia menakluk Liga Perdana Inggeris

519

Kelab Liga Perdana Inggeris, Brighton & Holve Albion dengan bangganya mengumumkan kemasukan pemain baru dari Jepun, Karou Mitoma.

Brighton telah menandantangani pemain ini pada musim lalu namun tidak dapat disenaraikan ekoran daripada masalah permit yang menyebabkan beliau terpaksa dipinjamkan ke sebuah kelab di Liga Belgium, Royal Union Saint-Gilloise (Union SG).


Mitoma telah mempamerkan aksi cemerlang sepanjang tempoh pinjaman beliau di kelab tersebut apabila berjaya menjaringkan lapan gol daripada 29 perlawanan.

Beliau berjaya membawa pasukan Union SG untuk layak ke pusingan play-off liga dan mengakhiri saingan di tempat kedua di belakang Club Brugge.

Kejayaan ini menarik minat ketua jurulatih pasukan kebangsaan Jepun, Hajime Moriyasu untuk menggunakan khidmatnya pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 sebelum ini.

Mitoma sering dimasukkan sebagai pemain gantian pada pusingan kelayakan namun tetap berjaya mempamerkan aksi yang berkualiti.

Lebih menakjubkan, beliau yang dimasukkan pada minit ke-84 menggantikan Takumi Minamino berjaya menjaringkan dua gol yang membawa kemenangan kepada pasukan Samurai Blue pada aksi menentang Australia.

Mitoma memulakan karier bersama pasukan B-18 Kawasaki Frontale sebelum membuat keputusan untuk menolak tawaran bersama skuad utama untuk menyambung pelajaran dan mewakili pasukan universitinya, Tsukuba University.

Keputusan ini dilihat tepat kerana beliau telah berjaya membantu pasukan Jepun untuk memenangi pingat emas di kejohanan Universiade dua kali berturut-turut pada tahun 2017 dan 2019.

Semoga momentum kecemerlangan ini dapat diteruskan di England yang akan menjanjikan saingan yang lebih mencabar kepada pemain ini.

Dalam pada itu, perpindahan pemain Liverpool, Minamino ke AS Monaco akan menjadikan Mitoma selaku pemain kedua dari Jepun yang akan beraksi di saingan EPL musim depan di samping pemain pertahanan Arsenal, Takehiro Tomiyasu.

Ini akan menjadi antara detik terindah sepanjang karier Mitoma sebagai seorang pemain bola sepak.

Lebih manis, pemain sayap tersebut baru sahaja melangsungkan perkahwinan bersama teman wanitanya sejak dari kolej beberapa hari sebelum pengumuman ini dilakukan.

Pemain berusia 25 tahun ini jelas akan menjadi pemain utama pasukan Brighton sejurus musim baru bermula.

Berdasarkan prestasinya sebelum ini, peminat The Seagulls telah meletakkan harapan yang tinggi agar kehadiran beliau akan dapat membantu pasukan ini mendapatkan rentak cemerlang untuk memperbaiki kedudukan pada saingan liga musim ini.

Ketajaman Mitoma akan terus ditagih oleh ketua jurulatih, Graham Potter untuk membantu barisan serangan pasukan tersebut.

Brighton mengakhiri saingan EPL musim lalu di tangga ke-9 selepas berjaya mencatatkan 12 kemenangan dari 38 perlawanan liga.