Jaringan bertaraf Puskas dari Everaldo, ulang kembali memori gol tidak masuk akal dari Faiz Subri
Penyerang Kashima Antlers FC dari Brazil, Everaldo telah mengejutkan peminat bola sepak dunia dengan menjaringkan gol ‘ajaib’ daripada sebuah sudut yang cukup sukar.
Jaringan tersebut berjaya membantu Kashima untuk mengikat pasukan Cerezo Osaka FC 3-3 pada aksi J-League tempoh hari.
Dalam pada itu, banyak pihak yang berpendapat bahawa gol menakjubkan tersebut perlu terus diangkat sebagai pemenang Anugerah Puskas FIFA pada tahun ini.
Anugerah Puskas FIFA merupakan sebuah pengiktirafan yang diberikan kepada para pemain bola sepak dunia yang berjaya menjaringkan gol terbaik pada setiap tahun.
Namun, hanya sebilangan sahaja pemenang anugerah ini dapat meneruskan rentak kecemerlangan mereka seperti pemain sensasi Korea Selatan, Son Heung-min yang menang pada tahun 2020.
Pahit tapi perlu diakui, kebanyakan daripada bekas penerima anugerah ini layak digelar sebagai one-hit wonder termasuk pemenang dari Malaysia sebelum ini, Faiz Subri.
Faiz merupakan pemenang anugerah Puskas FIFA pada tahun 2016 menerusi jaringan ‘gravity defying’ bersama pasukan Penang FC sewaktu menang 4-1 ke atas Pahang FC pada ketika itu.
Pemain berusia 34 tahun itu cukup dikenali dengan kelincahan beliau di bahagian tengah dan pernah beraksi bersama beberapa kelab besar di Malaysia seperti Kelantan FC, Terengganu FC dan juga Perlis FC.
Kelebihan Faiz dalam melakukan rembatan jauh menjadi antara senjata utama beliau dalam menjaringkan gol.
Malangnya, persembahannya terus merudum selepas kejayaan tersebut sehingga menyebabkan beliau gagal mendapatkan tempat di kesebelasan utama pasukan Penang pada ketika itu sehingga memaksanya keluar ke pasukan Liga M3, Northern Lions FC.
Baru-baru ini, beliau telah membuat kemunculan semula bersama pasukan Penang dan berjaya menjaringkan gol dari jarak jauh pada aksi menentang kelab dari Indonesia, Karo United di kejohanan Piala TYT 2022.
Diharap agar jaringan tersebut dapat menjadi motivasi kepada beliau untuk kembali mewarnai saingan Liga Super musim ini.
Tambahan pula, kehadiran beliau mungkin dapat membantu pasukan Harimau Kumbang untuk kembali mempamerkan aksi yang lebih konsisten.
Ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan perlu memanfaatkan pengalaman dan kemahiran yang dimiliki oleh Faiz bagi mengembalikan pasukannya ke landasan yang tepat untuk sekurang-kurangnya memberi saingan yang sengit di dalam Liga Super.
Faiz pernah ditawarkan untuk menjadi jurulatih teknikal sukan Teqball di Hungary namun tidak dapat diteruskan ekoran daripada penularan COVID-19 dan sebagainya.