Sadio Mane sanggup mati untuk Senegal, contoh terbaik untuk pemain Harimau Malaya
Ketua pasukan kebangsaan Senegal, Sadio Mane telah melakukan sebuah perjanjian untuk bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya beliau meninggal di atas padang sewaktu mewakili negara kesayangannya pada saingan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2021.
Hal ini ekoran daripada pelanggaran beliau bersama penjaga gol Cape Verde, Vozinha yang menyebabkan pemain tersebut mengalami concussion dan perlu direhatkan sekurang-kurangnya lima hari.
Bekas kelabnya, Liverpool FC memberi tekanan kepada Persatuan Bola Sepak Senegal bagi memastikan pemainnya tidak diturunkan di saingan suku akhir dan diberikan rehat seperti yang dicadangkan oleh doktor sebelum itu.
Namun, keazaman beliau untuk membantu pasukan negaranya memenangi kejohanan tersebut menyebabkan beliau berkeras untuk bermain dan menolak arahan tersebut.
Tindakan berani mati ini membuahkan hasil kepada beliau selepas berjaya menjuarai kejohanan tersebut setelah mengalahkan pasukan Mesir yang diketuai Mo Salah menerusi sepakan penalti.
Kesungguhan ini perlu dicontohi oleh kesemua pemain pasukan Malaysia tatkala selepas ini mereka akan berhadapan dengan beberapa siri perlawanan antarabangsa sebelum beraksi di pusingan akhir Piala Asia 2023.
Keazaman yang tinggi sewaktu bermain untuk negara akan menjadi motivasi terbaik untuk kesemua pemain Harimau Malaya untuk terus mempamerkan aksi yang terbaik pada setiap perlawanan.
Sebagai contoh, semangat yang ditunjukkan oleh pemain seperti Mane ini menjadi senjata utama kejayaan beliau untuk membantu meningkatkan kualiti bola sepak negaranya dan menjadi salah sebuah pasukan yang sukar ditandingi di rantau Afrika dan dunia.
Keinginan untuk mengharumkan nama negara dan perkembangan peribadi juga menjadi pembakar semangat kepada Mane untuk keluar dari Liverpool dan menimba pengalaman serta mencapai kejayaan di Bundesliga bersama kelab barunya, Bayern Munich.
Hal ini perlu dilihat dan dipelajari oleh para pemain negara dalam usaha untuk terus meningkatkan kualiti persembahan mereka dan tidak hanya berada di tahap yang sama untuk jangka masa yang lama.
Meskipun pasukan negara berjaya mempamerkan aksi yang baik setakat ini, masih banyak yang perlu ditingkatkan oleh pasukan kebangsaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa belasahan di kejohanan terbesar rantau ini seperti Piala Asia.
Ketua jurulatih, Kim Pan-gon perlu segera merangka strategi yang dapat membentuk sebuah pasukan yang lebih berkualiti dan mampu memberi saingan yang hebat kepada gergasi Asia.
Diharap agar perlawanan persahabatan yang akan dijalankan pada bulan September dan November akan menjadi medan terbaik untuk barisan kejurulatihan negara mengenalpasti kekurangan yang perlu diperbaiki dengan segera.