Perlawanan akhir Wimbledon jadi pentas pertama untuk dua wanita dengan kisah berbeza

832

Perlawanan akhir perseorangan wanita Kejohanan Wimbledon akan menemukan Ons Jabeur dan Elena Rybakina.

Ini merupakan pertama kali dalam karier untuk kedua-dua pemain tersebut layak ke perlawanan akhir kejohanan berprestij ini.


Lebih menarik, Jabeur yang merupakan pemain No. 1 Tunisia beragama Muslim, mencipta sejarah selaku pemain perseorangan wanita pertama dari benua Afrika yang layak ke perlawanan akhir Grand Slam.

Beliau berjaya mempamerkan aksi bertenaga sepanjang kejohanan selepas menewaskan beberapa nama besar dari Eropah, seperti pemain dari Republik Czech, Marie Bouzkova dan juga ke atas Tatjana Maria dari Jerman.

Jabeur yang kini berada di ranking kedua dunia itu dilihat berjaya menguasai aksi separuh akhir dengan aksi bertenaga yang berjaya menghalang Maria yang berada di ranking ke-54 dunia.

Kejayaan ini membuka peluang kepada Jabeur untuk menambah koleksi tiga gelaran yang pernah diperolehinya sepanjang karier profesional beliau yang bermula pada tahun 2010.

Lawan Jabeur di final, Rybakina juga mempunyai kisah menarik di sebalik kejayaan beliau ke pentas akhir.

Pemain berusia 23 tahun ini merupakan pemain tenis pertama mewakili Kazakhstan yang berjaya layak ke perlawanan akhir kejohanan berprestij seperti ini.

Beliau yang kini berada di ranking ke-65 dunia berjaya melakukan kejutan terhadap pemain veteran Romania, Simona Halep dengan keputusan 6-3, 6-3 untuk layak ke final.

Rybakina yang dibesarkan di Moscow, Rusia memilih untuk mewakili Kazakhstan bagi mendapatkan dana untuk menampung perjalanan kariernya sebagai seorang pemain tenis wanita.

Pertalian darah dengan Rusia menyebabkan ramai pihak mempersoalkan penyertaannya pada kejohanan kali ini.

Ini kerana Kejohanan Wimbledon telah mewartakan larangan terhadap pemain yang berasal dari negara Rusia dan Belarus di atas penaklukan yang dilakukan ke atas negara Ukraine.

Rybakina menyatakan bahawa perkara tersebut tidak langsung berkait kerana beliau telah lama mewakili Kazakhstan di beberapa kejohanan termasuk Sukan Olimpik.

Walaubagaimanapun, berdasarkan prestasi semasa, beliau dilihat akan menjadi lawan yang sukar kepada Jabeur melihatkan kepada keputusan yang diraih olehnya sepanjang kejohanan ini berlangsung.

Perlawanan akhir di antara kedua-dua pemain ini akan menjanjikan aksi yang menarik tatkala kedua-dua pemain ingin memenangi Kejohanan Wimbledon buat kali pertama.

Pada masa yang sama, diharap agar krisis dan isu peperangan yang berlaku tidak akan terus memberi kesan yang buruk kepada semua jenis sukan yang mempunyai peminat dari segenap pelusuk dunia.