Mahmoud Abdelfattah, jurulatih Muslim pertama di NBA buktikan tiada diskriminasi dalam sukan

474

Bekas juara National Basketball Association (NBA), Houston Rockets telah menyenaraikan kemasukan beberapa pembantu jurulatih pasukan yang akan membantu untuk meningkatkan prestasi pemain untuk musim baru.

Yang menarik, seorang jurulatih berbangsa Palestin, Mahmoud Abdelfattah turut diseneraikan sebagai pembantu jurulatih pasukan yang baru di samping Lionel Hollins.


Kejayaan Abdelfattah dalam membimbing pasukan Rio Grande Valley Vipers untuk mara ke G League NBA membuka mata ramai pihak terutama sekali ketua jurulatih Rockets, Stephen Silas.

Kepakaran jurulatih ini di segi offense akan menjadi taruhan utama untuk memperkuatkan Rockets di saingan sengit Western Conference.

Sewaktu membimbing The Vipers, Abdelfattah menjadi ketua jurulatih pertama beragama Islam pertama di dalam mana-mana francais liga NBA.

Lebih menakjubkan, beliau berjaya mendapatkan gelaran Jurulatih Tahunan untuk G League NBA bagi musim 2021/2022 selepas membawa pasukan The Vipers mendapatkan rekod 24-10.

Sifat peribadi Abdelfattah merupakan antara kunci utama kepada kejayaannya tersebut.

Keazaman membimbing pasukan menjadi motivasi kepada beliau untuk terus merangka strategi terbaik meskipun bermain di dalam bulan puasa.

Beliau sentiasa menerapkan sifat keterbukaan dalam pasukan untuk berbincang tentang pelbagai perkara termasuk isu agama, etnik dan sebagainya.

Perkara ini menjadi antara elemen-elemen yang membantu beliau membina kesefahaman di kalangan ahli pasukan The Vipers sehingga berjaya menjadi juara Conference League musim lalu.   

Ini membuktikan kredibiliti Abdelfattah sebagai calon terbaik untuk berganding bersama bersama Silas dan pasukan kejurulatihannya bagi membawa kejayaan kepada Rockets yang gagal mara ke pusingan play-off musim lalu.

Kehadiran Abdelfattah di kancah NBA merupakan petanda yang baik kepada semua peminat sukan bola keranjang di serata dunia.

Krisis yang wujud di antara Amerika Syarikat dan Palestin dilihat tidak langsung menggugat kerjaya kejurulatihan Abdelfattah bahkan beliau sangat-sangat diterima di negara tersebut.

Situasi ini juga menunjukkan peluang yang cerah untuk pemain-pemain berbakat yang datang dari negara tersebut untuk cuba mengembangkan karier ke NBA yang merupakan liga utama bola keranjang dunia.

Tambahan pula, keadaan ini memberi gambaran bahawa sukan mampu menjadi medium penyatuan tanpa mengambil kira latar belakang inidvidu tersebut.

Diharap agar situasi seperti ini dapat diteruskan dan boleh dijadikan contoh kepada sukan-sukan lain yang masih berhadapan dengan masalah diskriminasi yang kritikal.