Gol pertama Filipina jejaskan momentum cemerlang para pemain – Jacob Joseph
Pasukan bola sepak wanita negara mengalami kekalahan 4-0 kepada pasukan Filipina pada perlawanan ketiga Kumpulan A di saingan Piala AFF Wanita 2022.
Malayan Tigress berjaya mempamerkan aksi pertahanan yang cukup bertenaga sepanjang 30 minit awal permainan sebelum skuad Filipina berjaya menembusi gawang negara pada minit ke-31.
“Saya kurang pasti tentang gol pertama pasukan Filipina, tetapi pengadil mengesahkan perkara tersebut dan sedikit memberi kesan kepada para pemain saya yang telah menunjukkan aksi pertahanan yang baik sebelum itu.”
Ketua jurulatih pasukan, Jacob Joseph mengakui terdapat peningkatan yang berjaya ditunjukkan oleh barisan pemainnya selepas dua perlawanan sebelum ini.
“Saya berterima kasih kepada pada para pemain kerana berjaya mempamerkan aksi yang cukup baik.
Saya harap pemain saya akan segera pulih menjelang perlawanan seterusnya menentang Thailand.”
Pasukan negara perlu menggunakan waktu rehat yang singkat ini bagi bersiap sedia menghadapi baki dua perlawanan menentang pasukan yang kuat.
Lawan Malaysia selepas ini, pasukan Thailand telah berjaya membenam pasukan Singapura 3-0 pada sebuah lagi perlawanan Kumpulan A malam tadi (8 Julai).
“Kumpulan saya terdiri dari pasukan yang kuat seperti Thailand, Filipina dan Australia.
Perlawanan seterusnya akan menjadi cabaran yang besar kepada pemain saya dan saya harap mereka akan segera pulih dalam tempoh yang singkat.”
Jacob berhadapan dengan masalah yang besar bagi memastikan kesemua pemainnya berada dalam keadaan yang baik dan dapat diturunkan.
Tambahan pula, aksi menentang pasukan yang besar akan memaksa kesemua pemain Malayan Tigress untuk menggunakan kesemua kudrat mereka bagi mengekang asakan yang akan dilakukan lawan.
“Bukan mudah bermain dalam lima hari untuk bertemu lawan yang kuat seperti ini.”
Malaysia kini berada di tangga ke-4 kumpulan di belakang Australia yang berjaya menundukkan Indonesia 4-0.