Jordan Mintah akui perlukan masa untuk biasakan diri dengan corak taktikal KL City FC

491

Penyerang baru Kuala Lumpur City FC, Jordan Mintah gagal membantu pasukannya untuk mara lebih jauh di saingan Piala FA tahun ini.

Jordan yang baru dimasukkan pada jendela perpindahan kedua selaku pemain pinjaman tidak berjaya mempamerkan ketajaman beliau pada aksi pertamanya bersama pasukan.


“Saya baru menyertai pasukan ini, saya perlu lebih banyak masa bersama jurulatih ini.

Bojan merupakan antara jurulatih terbaik di Malaysia dan saya perlu memanfaatkan peluang ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Kekalahan tipis pasukan The City Boys di tangan pasukan Selangor FC menjejaskan rentak cemerlang yang ditunjukkan oleh pasukan tersebut sebelum ini yang berjaya membenam pasukan Tampines Rovers FC dalam saingan Piala AFC 2022.

Peluang demi peluang yang dihasilkan oleh pasukan KL City gagal menembusi gawang gol Selangor yang dikawal oleh penjaga gol, Samuel Somerville yang beraksi cemerlang menepis beberapa percubaan.  

“Semuanya baik cuma kami gagal mendapatkan banyak peluang dan pasukan lawan berjaya memanfaatkan peluang keemasan.

Itu adalah adat permainan, kami perlu menerima sebarang keputusan yang berlaku pada perlawanan ini.”

Jordan yang dilihat selesa bersama pasukan KL City diharap akan dapat meneruskan ketajaman beliau di Liga Perdana sebelum ini bersama pasukan Terengganu FC II.

“Pasukan ini sungguh bagus, saya rasa bebas bersama mereka dan ini adalah perkara baik untuk pasukan ini.

Kami perlu terus berusaha dan terus bergerak ke hadapan untuk terus berjuang pada saingan seterusnya.”

tambahnya.

Beliau akan menjadi taruhan utama pasukan kendalian ketua jurulatih, Bojan Hodak pada aksi Liga Malaysia (Liga M) selepas ini.

Kehadiran beliau akan menambahkan ketajaman pasukan bagi membantu Paolo Josue yang kini bermain di posisi penyerang.