Perlawanan menentang kelab luar negara penting untuk ukur tahap permainan pasukan – Rezal Zambery
Bagi mempersiapkan pasukan menghadapi baki saingan Liga Perdana musim ini, Kelantan FC akan mengadakan satu perlawanan persahabatan menentang kelab Indonesia, PSPS Riau.
Perlawanan tersebut akan berlangsung di Stadium Utama Riau pada 12 Julai ini pukul 4.15 petang waktu Malaysia.
Ketua jurulatih Kelantan, Rezal Zambery Yahya berkata, perlawanan persahabatan menentang kelab luar negara adalah penting bagi mengukur tahap permain dan kebolehan pasukan.
Beliau akan memberi peluang kepada semua pemain pada perlawanan itu supaya mereka mampu belajar sesuatu apabila menentang kelab luar negara.
“Kebanyakan kelab di Malaysia ini kita sudah tahu akan kekuatan dan kebolehan mereka.
Jadi perlawanan menentang kelab luar negara adalah baik buat para pemain supaya mereka belajar untuk menghadapi situasi dan lawan yang tidak dijangka,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut Rezal, ia akan memberi satu pengalaman yang lain serta tekanan yang berbeza buat anak buahnya.
Selain itu, beliau juga berkata ia adalah satu perlawanan yang baik bagi membina persefahaman antara pemain lama dan pemain yang baru tiba.
Kelantan membawa masuk empat pemain pada jendela perpindahan pemain kedua baru-baru ini iaitu dua pemain tempatan, Latiff Suhaimi dan Shafiq Al-Hafiz serta dua pemain import, Felipe Hedera dan Kenta Hara.
“Perlawanan ini bukan sahaja untuk saya uji kesebelasan utama kerana ada beberapa pemain yang cedera dan kita juga ada membawa masuk beberapa pemain tempoh hari.
Jadi apa yang paling penting adalah mereka faham taktikal yang saya mahu terapkan untuk baki saingan Liga Perdana nanti.”
Dalam pada itu, Rezal mengakui tidak mempunyai banyak informasi mengenai pasukan tersebut.
Beliau menjangkakan PSPS Riau akan memberi satu cabaran yang hebat buat mereka memandangkan pasukan itu sedang mempersiapkan pasukan bagi menghadapi musim baru liga.