Rezal Zambery sasar Kelantan FC juara Liga Perdana, tak sabar jumpa penyokong di Stadium Sultan Muhammad IV

5,490

Ketua jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya meletakkan sasaran kepada anak buahnya untuk menjuarai saingan Liga Perdana musim ini menjelang baki saingan liga yang akan bermula 18 Julai ini.

Menurut Rezal, motivasi para pemain kini berada di tahap yang amat tinggi memandangkan mereka ketika ini berada di landasan yang baik untuk bergelar juara.


“Musim ini kita ada sasaran untuk layak ke Liga Super tahun depan dan sekarang ini kita mempunyai misi pula untuk mengejar kejuaran, sudah tentu motivasi itu datang dengan sendirinya.

Saya berkata kepada pemain bahawa tidak semua yang berada di kelab ini pernah mengecapi kejuaraan jadi kita kena tingkatkan lagi usaha untuk merealisasikan impian itu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga yakin kemasukan beberapa pemain baru pada jendela perpindahan baru-baru ini juga akan memberi impak yang positif kepada pasukan untuk menghadapi baki saingan liga.

Dalam pada itu, beliau juga lega kerana pasukan akan kembali semua ke home mereka iaitu Stadium Sultan Muhammad IV dalam masa terdekat ini.

Katanya, bermain di Kota Bharu akan memberikan motivasi tambahan buat para pemain kerana mereka akan mendapat sokongan yang lebih padu.

“Bagi saingan pertama liga kita bermain semua perlawanan away jadi apabila kita sudah kembali ke Kota Bharu nanti saya harap penyokong ramai-ramai memenuhi stadium untuk beri motivasi kepada pemain.

Kita juga tahu tentang sejarah penyokong Kelantan yang mempunyai semangat yang kuat terhadap pasukan ini.”

Pada masa yang sama, beliau turut memuji pengurusan Kelantan yang bijak dalam memastikan semua pemain berkampung di Kota Warisan, Sepang sementara menunggu kerja-kerja naik taraf di Stadium Sultan Muhammad IV siap.

Rezal berkata, berada di tengah-tengah negara dapat mengelakkan para pemain berasa penat untuk bergerak menghadapi perlawanan di tempat lawan.

Sebelum menghadapi baki saingan liga musim ini, Kelantan akan mengadakan satu perlawanan persahabatan dengan kelab Indonesia, PSPS Riau pada 12 Julai ini di Stadium Utama Riau, Indonesia.

Kelantan kini berada di tangga kedua Liga Perdana, dipisahkan dengan perbezaan gol dengan Terengganu FC II yang berada di tangga pertama, namun kurang dua perlawanan.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen