Jacob Joseph sifatkan jadual Piala AFF terlalu padat, hanya ada 18 pemain untuk menentang Thailand

433

Ketua jurulatih skuad wanita negara, Jacob Joseph memberitahu anak buahnya tidak mempunyai rehat yang cukup berikutan jadual padat yang terpaksa dilalui pada kejohanan Piala AFF Wanita ketika ini.

Menurutnya, para pemain hanya mempunyai rehat sekitar 36 jam sebelum turun pada perlawanan seterusnya.


“Kredit kepada anak buah saya kerana kami terpaksa bermain lima perlawanan dalam sembilan hari dan ia bukanlah mudah.

Ini juga menyebabkan para pemain saya cedera dan tidak mendapat masa yang cukup untuk proses pemulihan,”

katanya.

Susulan itu, beliau kini hanya mempunyai 18 pemain yang boleh diturunkan pada perlawanan menentang Thailand esok selepas tiga pemain cedera manakala seorang lagi terpaksa disisihkan akibat positif Covid-19.

Perlawanan menentang Thailand nanti, beliau akan menggunakan taktikal bertahan sama seperti ketika menantang Filipina kerana sedar akan kemampuan lawannya itu.

“Saya bercadang untuk bermain secara defensif pada separuh masa pertama dan mungkin kita boleh cuba bermain secara terbuka sedikit pada separuh masa kedua.

Sekurang-kurangnya saya rasa kita mahukan satu mata menentang Thailand dan saya harap para pemain bersedia esok.”

Dalam pada itu penjaga gol utama negara, Nurul Azurin Mazlan mengakui beliau dan rakan-rakan keletihan kerana terpaksa melalui banyak perlawanan dalam tempoh yang singkat.

Beliau berkata, ramai pemain yang kini diserang sakit tekak dan selsema kerana tidak mendapat rehat secukupnya.

“Kebanyakan pemain sudah penat sebab kita dah lalui tiga perlawanan dalam enam hari, dan kami masih ada baki dua perlawanan yang perlu ditempuh dalam masa tiga hari selepas ini.

Sukar bagi kami lalui semua ini kerana kami tidak sempat untuk pulih 100 peratus antara perlawanan.”

Bagi perlawanan menentang Thailand esok, beliau berharap Malaysia dapat mencatatkan keputusan seri dan tidak melepaskan jaringan dalam jumlah yang besar.

Malayan Tigress akan turun menentang Thailand pada pukul 7.00 malam esok di Stadium Bola Sepak Binan, Filipina.