Saya tak akan cari kemenangan pada perlawanan terakhir kumpulan – Hassan Sazali

3,566

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-19, Hassan Sazali berkata beliau tidak akan memaksa pemain-pemainnya untuk mencari kemenangan pada perlawanan terakhir kumpulan selepas mereka sudah layak ke separuh akhir Piala AFF B-19.

“Pada perlawanan terakhir ianya sekadar untuk menentukan tempat sebagai juara atau naib juara kumpulan, jadi saya tak akan cari kemenangan pada perlawanan terakhir kerana tidak mahu memaksa mereka bermain sehingga terlalu letih,”

katanya.

Pada perlawanan malam tadi, skuad Harimau Muda berjaya menumpaskan Timor Leste 4-3 dalam aksi yang mendebarkan apabila kapten pasukan Aysar Hadi dilayangkan kad merah pada separuh masa kedua.


Skuad negara bermula garang apabila mereka berjaya membuka akaun jaringan pada minit ke-9 menerusi Najmudin Akmal.

Bagaimanapun, dua minit kemudian Timor Leste berjaya menyamakan kedudukan. Selang empat minit Adam Farhan mengembalikan kelebihan pasukan negara untuk memastikan Malaysia mendahului pada separuh masa pertama.

Bermula separuh masa kedua, skuad negara kembali mengatur serangan dan pada minit ke-53 Aliff Izwan menjaringkan gol sekaligus memberi kelebihan dua gol.

Sumber foto: FAM

Namun tidak sampai dua minit Timor Leste sekali lagi menjaringkan gol kedua mereka, tetapi pada minit ke-62 Adam Farhan kembali menjarakkan kedudukan.

Timor Leste mengambil kesempatan melakukan serangan bertali arus apabila pemain negara dikenakan kad merah dan berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-76, namun mereka akhirnya terpaksa akur tumpas 4-3 apabila barisan pertahanan negara berjaya mempertahan kedudukan sehingga ke wisel penamat.

Dalam pada itu, Hassan gembira apabila sasaran mereka untuk menang pada malam ini tercapai, namun beliau menyuarakan kebimbangannya dengan barisan pertahanan.

“Alhamdulillah kita mencapai sasaran untuk menang pada malam ini dan dengan kemenangan ini kita berjaya layak ke separuh akhir. Tidak dapat dinafikan Timor Leste juga mahu menang kerana mahu mencerahkan peluang mereka layak ke separuh akhir jadi perlawanan jadi agak tegang sedikit.

Apa yang merisaukan saya adalah barisan pertahanan kita. Walaupun kita sudah jaringkan gol tapi kita bolos dengan cepat.”

Disebalik kebimbangan itu, Hassan juga berasa gembira apabila pemainnya mula mendapat keyakinan dan bersemangat ketika beraksi di atas padang.

Skuad negara akan menentang pendahulu kumpulan Loas pada perlawanan terakhir pada 11 Jun ini bagi menentukan juara Kumpulan B.

Kemenangan pada malam tadi menyaksikan Hassan dan anak buahnya berjaya mencapai sasaran ke separuh akhir yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini.