Hassan Sazali akui gagal jaringkan gol walaupun punya deretan peluang jadi punca Harimau Muda tewas di tangan Laos

1,075

Ketua jurulatih, Hassan Sazali terpaksa akur dengan kekalahan di tangan Laos 1-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan B saingan Piala AFF B-19 petang tadi.

Menurut Hassan, kekalahan skuad Harimau Muda adalah berpunca dari kesilapan sendiri selain gagal menjaringkan gol walaupun mempunyai deretan peluang.


“Kita akur dengan kekalahan ini apabila membuat kesilapan dan telah dihukum oleh pihak lawan.

Pada 20 minit terakhir permainan pemain saya mengawal hampir sepenuhnya permainan dengan deretan peluang terhidang tetapi mereka gagal untuk menjaringkan gol,”

katanya.

Pada perlawanan petang tadi, permainan kedua-dua pasukan tampak seimbang dengan masing-masing melakukan serangan bersilih ganti namun gagal menjaringkan gol.

Bagaimanapun kesilapan pemain yang gagal mengawal bola dengan baik telah menyebabkan pemain Laos berjaya merampas bola yang mana beliau kemudian dijatuhkan sekaligus mendapat sepakan penalti yang disempurnakan Phoutthayong Sangyilay pada minit ke-68.

Sumber foto: FAM

Dalam pada itu, Hassan memberitahu beliau telah melakukan perubahan dalam kesebelasan utama berikutan beberapa pemain utama mengalami kecederaan.

“Beberapa tonggak utama mengalami kecederaan dan saya juga ada memberi rehat kepada beberapa pemain lain sebagai persediaan untuk menghadapi perlawanan separuh akhir nanti.”

Pada perlawanan separuh akhir nanti, pasukan kebangsaan akan menentang juara Kumpulan A iaitu Vietnam.

Mengakui ia akan menjadi satu perlawanan yang cukup sukar buatnya, beliau menuntut anak buahnya untuk pamer aksi yang lebih mantap dan berdisiplin.

“Kita tahu Vietnam adalah sebuah pasukan yang cukup bersedia dan bagus, jadi kita tidak harus beri ruang dan peluang kepada mereka untuk jaringkan gol.”

Jelasnya lagi, tempoh rehat beberapa hari sebelum perlawanan separuh akhir akan digunakan sebaik-baiknya untuk memastikan kesemua pemain kembali cergas dan bersedia untuk diturunkan.

Terdahulu skuad B-19 berjaya mencapai sasaran ke separuh akhir yang telah diletakkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).