Sarawak United FC kini umpama ‘sudah jatuh ditimpa tangga’
Keadaan semasa pasukan Sarawak United FC kini seperti ‘telur berada di hujung tanduk’ apabila mereka berkemungkinan akan dikenakan sekatan perpindahan pemain oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Ia susulan kegagalan pasukan itu untuk melangsaikan tunggakan gaji dan pampasan bekas pemain importnya iaitu Sandro da Silva walaupun sudah diberikan tempoh untuk membuat pembayaran itu sebelum 18 Jun lalu.
Jika masalah itu tidak diselesaikan dalam masa terdekat ini FIFA akan mengarahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengambil tindakan lebih keras kepada pasukan dari Borneo itu.
Kemelut yang berlaku dalam pasukan Bujang Senang pada musim ini boleh diumpamakan seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.
Ini kerana pada awal musim mereka telah kehilangan ketua jurulatih mereka iaitu E. Elavarasan yang dilantik sebagai penolong ketua jurulatih skuad kebangsaan yang mana menyaksikan Pengarah Teknikal iaitu B. Sathianathan terpaksa mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih Sarawak.
Bagaimanapun tidak lama kemudian, Sathianathan pula terpaksa mengundurkan diri berikutan masalah kesihatan serius yang dialaminya.
Sarawak kini dikendalikan oleh bekas penolong jurulatih Harimau Malaya iaitu S. Balachandran dan berdasarkan prestasi semasa pasukan yang dipamerkan oleh skuad Ngap Sayot ketika ini nyata menimbulkan kebimbangan oleh penyokong mereka.
Walaupun mendapat ketua jurulatih baru, namun pasukan itu tampak bergelut dan serba tak kena apabila mereka menjadi satu-satunya pasukan yang kalah besar dalam dua perlawanan iaitu dibelasah 6-0 oleh Johor Darul Ta’zim dan 7-0 oleh Selangor FC.
Disebalik segala masalah yang melanda, pasti ada sinar atau hikmah disebaliknya, oleh itu pihak pengurusan Sarawak tidak boleh cepat berputus asa manakala penyokong pula perlu memberi sokongan penuh pada saat-saat getir ini.
Biarpun berdepan masalah, kedudukan pasukan itu dalam saingan Liga Super masih lagi selamat dari zon penyingkiran apabila mereka kini berada pada kedudukan ke sembilan selepas 11 perlawanan.
Mungkin Sarawak boleh mengikut cara dan jejak langkah PJ City FC menguruskan pasukan kerana walaupun menjadi satu-satunya pasukan di Liga Super yang menggunakan pemain tempatan, tetapi mereka berjaya beri saingan yang cukup sengit dan tidak pernah berdepan apa-apa masalah terutamanya masalah gaji.
Anggap apa yang berlaku dalam pasukan ketika ini adalah lumrah jatuh bangun sesebuah pasukan bola sepak dan jangan cepat mengalah untuk mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Sarawak seperti satu ketika dahulu.
Selain Sarawak berdepan masalah tunggakan gaji, ada juga desas-desus yang mengatakan ada beberapa lagi pasukan yang berdepan masalah sama namun masih belum didedahkan.