Aksi Sabah-JDT bakal jadi perlawanan ‘full house’ pertama musim ini
Walaupun kehadiran penyokong ke stadium kini tidak lagi dihadkan selepas negara beralih ke fasa endemik, namun penyokong bola sepak di Malaysia dilihat masih tidak berminat untuk turun menyaksikan perlawanan di stadium.
Lebih parah lagi apabila kini perlawanan bola sepak disiarkan secara percuma di saluran YouTube sekaligus membuatkan ramai memilih untuk menyaksikan perlawanan bola sepak sendiri tanpa ke stadium.
Musim ini, masih belum terdapat mana-mana perlawanan lagi yang berjaya mencatatkan rekod kehadiran penuh atau full house.
Malah kebanyakan pasukan masih tidak mampu mencapai walau separuh kapasiti stadium secara konsisten dalam setiap perlawanan liga.
Namun, perlawanan antara dua kelab teratas Liga Super, Sabah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) Jumaat ini mungkin akan menjadi perlawanan pertama yang berjaya mencatatkan jumlah kehadiran penuh pada musim ini.
Menurut pengurusan Sabah, jualan tiket secara online sudah pun habis dijual pada 8 Julai lalu manakala baki 3,000 tiket pula akan dijual secara fizikal bermula Khamis ini.
Berdasarkan sambutan jualan tiket tersebut, perlawanan itu dilihat bakal menjadi penanda aras bagi jumlah kehadiran penyokong musim ini.
Ini adalah satu perkembangan yang baik sekiranya ia mampu diteruskan pada perlawanan-perlawanan yang lain.
Perlawanan tersebut akan berlangsung pada pukul 8.15 malam Jumaat ini di Stadium Likas, Kota Kinabalu yang mempunyai 35,000 tempat duduk.
Ia akan menjadi perlawanan yang amat penting bagi menentukan kedudukan sebagai peneraju Liga Super.
Tiga pemain baru JDT yang dibawa masuk pada jendela perpindahan baru-baru ini juga dijangka akan menjadi tumpuan pada perlawanan tersebut.
Bagi pertahanan kelahiran Sabah, Junior Eldstal, ia mungkin menjadi perlawanan pertama di negeri kelahirannya itu sekembalinya ke Liga Super selepas berkelana di Thailand selama tiga tahun.
Selain itu, seorang lagi pertahanan dengan reputasi tinggi, Jordi Amat mungkin akan membuat penampilan pertamanya pada perlawanan itu.
Manakala, Levy Madinda yang pernah membuat 16 penampilan bersama The Rhinos musim lalu juga mungkin akan turun menentang bekas majikannya itu.
JDT kini memimpin carta Liga Super dengan 23 mata daripada sembilan perlawanan manakala Sabah yang lebih satu perlawanan mengikuti rapat dengan 22 mata.