Pihak berwajib perlu bantu Speedy Tigers untuk sertai Hockey Pro-League
Tidak dapat dinafikan sukan hoki bukanlah sukan utama negara, tetapi pencapaian yang dikecapi oleh mereka sepatutnya mendapat perhatian pihak berwajib seperti Kementerian Belia Dan Sukan (KBS).
Ini kerana Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sering berdepan dengan masalah kekurangan bajet untuk aktiviti pasukan kebangsaan walaupun Malaysia kini menjadi gergasi dunia dalam sukan hoki.
Malah lebih membanggakan apabila skuad Speedy Tigers berjaya layak ke Piala Dunia 2023 buat kali ketiga berturut-turut, tetapi tiada sebarang imbuhan yang diberikan kepada mereka.
Malaysia yang kini berada pada ranking ke-10 dunia juga sudah beberapa kali menerima jemputan untuk menyertai kejohanan liga hoki ‘home-away’ yang dianjurkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).
Kejohanan ini adalah pertandingan di antara sembilan pasukan terkuat di dunia sekaligus menjadikan ia sebagai satu kejohanan yang wajib disertai oleh skuad negara.
Namun MHC terpaksa menolak jemputan itu sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2019 dan 2021 kerana kekurangan bajet dan Malaysia merupakan satu-satunya negara yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia yang belum pernah beraksi dalam Hockey Pro-League.
Rasanya ini adalah masa yang tepat buat KBS untuk membantu MHC dengan menyediakan bajet atau imbuhan kepada badan induk hoki negara ini kerana mereka perlu membuat persiapan rapi untuk menghadapi saingan Piala Dunia pada tahun hadapan.
Jika sudah ada perancangan imbuhan yang akan diberikan kepada MHC, diharap ia dapat disegerakan kerana mereka memerlukan perlawanan kompetitif bagi mengekalkan prestasi terbaik mereka sebelum terbang ke India.
Ramai peminat sukan tanah air juga berpendapat jika skuad bola sepak yang layak ke Piala Asia diberi imbuhan, skuad hoki juga wajib dapat imbuhan kerana mereka layak ke kejohanan yang lebih berprestij.
Sudah tiba masanya sukan hoki yang sebelum ini sering disisihkan menjadi sukan tumpuan kerana mereka adalah antara sukan paling konsisten dan cemerlang di peringkat antarabangsa.
Diharap selepas ini kita tidak akan mendengar lagi MHC ‘mengemis’ semata-mata mahu mendapatkan bajet atau dana untuk skuad hoki negara kerana perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku pada mereka yang sering membawa kejayaan kepada negara.