Dirobohkan atau kekal, nasib Stadium Shah Alam ditentukan 15 Julai

372

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan membuat pengumuman mengenai nasib Stadium Shah Alam sama ada akan dirobohkan atau dikekalkan pada Jumaat ini.

Setiausaha Politik kepada Amirudin, Juwairiya Zulkifli mengesahkan perkara itu kepada Harimau Malaya ketika ditanya mengenai keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan negeri.


“MB akan buat pengumuman (mengenai Stadium Shah Alam) 15hb ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Isu mengenai Stadium Shah Alam terus menjadi pertikaian hangat selepas Amirudin berkata pihaknya mempertimbangkan cadangan untuk merobohkan stadium berusia 28 tahun itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan kajian berhubung status stadium itu sama ada perlu diselenggara atau dirobohkan bagi penjimatan kos.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta setiap tahun bagi kos penyelenggaraan dan telah membelanjakan lebih RM30 juta bagi kerja baik pulih sistem paip stadium itu.

Beliau bagaimanapun dikecam hebat oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempersoalkan kerajaan negeri Selangor yang didakwa tidak menjaga stadium tersebut.

Najib turut membuat perbandingan antara stadium tersebut dengan Stadium Merdeka yang jauh lebih tua tetapi tidak pernah pernah dicadang untuk dirobohkan.

Beliau turut menyamakan kepentingan stadium itu buat Selangor FC seperti dua stadium keramat Liga Perdana Inggeris iaitu Old Trafford milik Manchester United dan Anfield milik Liverpool.

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar sebelum ini turut mempersoalkan cadangan meroboh stadium berkenaan dan berkata ia hanya memerlukan penyelenggaraan secara berterusan dan konsisten.

Beliau berkata, stadium itu merupakan satu mercu tanda buat Selangor dan mempunyai nilai sejarah tersendiri dan jika dirobohkan ia pasti akan mengundang rasa kecewa dalam kalangan rakyat negeri itu.

Apa-apa pun tarikh 15 Julai ini pastinya dinanti-nantikan oleh seluruh warga Selangor terutama penyokong Selangor yang sudah sinonim dengan stadium tersebut.

Sama ada dirobohkan atau dikekalkan, ia harus menjadi satu pengajaran buat pengurusan stadium lain di negara ini dan diarapkan isu seperti ini tidak timbul kembali.