Barisan kejurulatihan BAM adalah yang terbaik, Aaron Chia-Woi Yik perlu duduk bersemuka jika ada masalah – Zakry Latif

1,554

Bekas pemain beregu negara, Mohd Zakry Latif percaya barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika ini adalah dalam kalangan yang terbaik dan percaya akan menampakkan peningkatan dalam masa terdekat.

Menurut Zakry, walaupun tiada seorang pun pemain yang berjaya melangkah ke peringkat akhir di dua kejohanan dalam negara iaitu Terbuka Malaysia dan Malaysia Masters baru-baru ini, namun ia bukanlah bermakna mereka gagal sebaliknya cuma ada beberapa aspek yang perlu digilap untuk memperbaiki prestasi mereka.


“Kita ada Wong Choong Hann sebagai ketua jurulatih perseorangan yang merupakan bekas naib juara dunia serta Rexy Mainaky yang saya secara peribadi kenal kebolehan beliau jadi bagi saya barisan kejurulatihan kita adalah yang terbaik yang kita ada.

Dari segi teknikal tiada masalah, mungkin dari segi mental yang perlu diperbaiki lagi supaya pemain mampu menyerap tekanan ketika berada dalam situasi genting,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, bermain di tempat sendiri dalam dua kejohanan sebelum ini juga adalah satu tekanan buat pemain negara kerana harapn tinggi yang diletakkan peminat, jadi ia turut menjadi faktor yang menjejaskan mental pemain negara.

Sementara itu, beliau berkata beregu utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik harus menyelesaikan masalah antara mereka berdua sekiranya terdapat isu di sebalik tabir.

Jelasnya, kepercayaan terhadap pasangan adalah kunci utama bagi membentuk beregu yang hebat dan sekiranya terdapat perbalahan sudah tentu akan mengganggu persefahaman di gelanggang.

“Saya pun pernah berdepan isu seperti ini dan jika pasangan sudah tidak percaya antara satu sama lain ia akan mengganggu momentum permainan walaupun jurulatih sudah berikan taktikal yang terbaik.

Jika terdapat masalah ini, apa yang mereka harus buat adalah duduk bersemuka, luahkan segala ketidakpuasan hati dan selesaikan di luar gelanggang.”

Zakry bagaimanapun menolak cadangan supaya mereka dipisahkan kerana kesuntukan masa jika mahu membentuk gandingan baru bagi menghadapi Sukan Olimpik tahun depan.

Dalam pada itu, beliau percaya barisan pemain beregu negara sedang berada di landasan yang betul di bawah kendalian Rexy.

Beliau melihat dalam tempoh satu atau dua tahun ini, Malaysia akan mempunyai lebih ramai pemain beregu yang hebat seperti Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri dan Tee Kai Wun-Man Wei Chong.