Justin Hoh perlukan cabaran baru, tingkatkan prestasi sebagai pelapis perseorangan negara

3,235

Pemain badminton perseorangan Malaysia, Justin Hoh merupakan antara prospek masa hadapan yang dimiliki oleh negara pada masa ini.

Pemain muda berusia 18 tahun itu telah berjaya melakukan kejutan di beberapa kejohanan peringkat senior.


Sebelum ini, Justin telah membuktikan kehebatannya apabila berjaya merangkul dua kejuaraan di Terbuka Croatia dan Bonn International.

Ekoran daripada kejayaan ini, beliau dilihat telah bersedia untuk dinaikkan ke pasukan utama negara bagi membantu mempercepatkan lagi proses pembangunannya.

Legenda badminton negara, Datuk James Selvaraj turut berpendapat bahawa inisiatif ini akan memberi kelebihan kepada barisan pemain perseorangan negara memperbanyakkan lagi wakil di kejohanan utama dunia.

Cabaran yang lebih sengit di peringkat senior akan membantu Justin untuk memperbaiki corak permainannya dan lebih bersedia untuk menggalas tugas yang lebih berat.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu memberi peluang kepada beliau untuk beraksi di kejohanan yang berada di tahap yang lebih tinggi dan disertai oleh pemain ternama dunia.

Pengalaman beraksi di usianya sekarang akan menjadikan beliau seorang pemain yang berkualiti pada masa hadapan.

Hal ini kerana terdapat ramai bekas juara dunia yang berjaya menempa nama di peringkat awal karier mereka.

Sebagai contoh, bekas pemain perseorangan Indonesia, Rudy Hartono berjaya menjuarai kejohanan All England pada usia 18 tahun.

Selain itu, legenda badminton dunia Lin Dan turut membuat penampilan di peringkat senior profesionalnya pada usia yang sangat muda.

Lin Dan berjaya mara ke perlawanan akhir di Kejohanan Badminton Asia pertamanya seawal usia 18 tahun.

Meskipun berhadapan dengan beberapa siri kekalahan di peringkat awal, pemain-pemain ini berjaya menggunakan pengalaman tersebut untuk memperbaiki kekurangan dan menjadikan mereka pemain yang bertambah baik dari masa ke masa.

Perkara yang sama boleh berlaku kepada Justin selaku pelapis perseorangan negara yang akan ditagih untuk terus menggalas harapan di acara tersebut pada masa hadapan.

Sehingga kini, skuad perseorangan negara sering berhadapan masalah ketandusan pemain yang mampu memberi cabaran yang hebat di kejohanan utama dunia.

Peluang beraksi di peringkat tertinggi pada usia yang muda mampu memberikan pendedahan yang lebih mendalam kepada pemain.

Tambahan pula, beliau yang kini sedang dilatih oleh bekas pemain negara, Misbun Sidek menerusi program latihan pasukan junior berada di tahap terbaik dan mampu memberi cabaran yang sihat kepada pemain sedia ada seperti Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao.

Pemain perseorangan Indonesia, Chico Aura adalah contoh terbaik masa kini yang terhasil daripada pendedahan awal beraksi di peringkat utama pada usia yang muda.

Chico dipilih untuk berlatih bersama pasukan utama Indonesia bermula pada tahun 2015 ketika beliau baru berusia 17 tahun. 

Peluang ini dimanfaatkan sebaiknya oleh beliau yang telah berjaya menempa nama di arena badminton antarabangsa.

Beliau juga merupakan salah seorang pemain yang berjaya membantu pasukan Indonesia menewaskan pasukan China untuk menjuarai Piala Thomas pada tahun 2020.

Baru-baru ini, beliau berjaya menamatkan kemarau kejuaraannya apabila memenangi kejohanan Malaysia Masters selepas menewaskan pemain pilihan kelapan dari Hong Kong, Ng Ka Long Angus.

BAM perlu segera melakukan pertimbangan yang terbaik bagi mengelakkan seorang lagi prospek masa depan negara terus disia-siakan.