Kobe Jae Chong terus kekal di England, tolak tawaran lumayan di Liga Malaysia untuk timba pengalaman di Eropah

703

Pemain kacukan Malaysia-Jamaica, Kobe Jae Chong telah mengakhiri spekulasi perpindahannya selepas menandatangani kontrak bersama pasukan AFC Telford United di England untuk saingan liga musim baru.

Beliau yang sebelum ini dikaitkan dengan beberapa pasukan di Liga Malaysia (Liga M) telah membuat keputusan untuk terus beraksi di Eropah bagi mencari pengalaman meskipun ada khabar angin yang mengatakan bahawa beliau ditawarkan gaji yang besar di Malaysia.


Perpindahan ini dilihat sebagai peluang terbaik untuk beliau terus mendapatkan peluang beraksi di peringkat yang lebih mencabar bagi terus mempertingkatkan lagi kualiti permainannya.

Walaupun tidak beraksi di liga utama England, Kobe akan tetap berhadapan dengan cabaran yang sengit tatkala saingan di negara tersebut sungguh hebat dan akan menguji kemampuan beliau selaku seorang pemain muda.

Sebelum ini, beliau berjaya membuat beberapa penampilan bersama sebuah lagi pasukan dari England, Peterborough United FC yang beraksi di League One sebelum dilepaskan oleh pasukan tersebut.

Pengalamannya beraksi bersama pasukan ini sedikit sebanyak akan membantu beliau untuk segera menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkan di liga tersebut.

Pasukan barunya, Telford United merupakan sebuah kelab divisyen enam yang sedang bersaing di National League North.

Selaku pemain muda berusia 22 tahun, Kobe dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk dipilih oleh ketua jurulatih, Paul Carden bagi menjadi antara pemain utama pada saingan musim baru.

Tambahan pula, beliau telah dipilih selaku kesebelasan utama pada perlawanan persahabatan pra-musim menentang musuh tradisi, Shrewsbury Town FC yang berkesudahan seri tanpa sebarang jaringan.  

Telford United berada di kedudukan ke-20 National League North selepas hanya berjaya menang sebanyak tujuh kali daripada 42 perlawanan keseluruhan.

Khidmat Kobe akan terus ditagih untuk membantu pasukan tersebut memperbaiki kedudukan tersebut.

Peluang ini perlu dimanfaatkan oleh pemain tengah tersebut untuk menimba pengalaman yang secukupnya bagi menjadikan beliau seorang pemain yang lebih baik.

Pada masa yang sama, ini akan menjadi kelebihan kepada pasukan bola sepak negara untuk memiliki seorang prospek masa hadapan yang beraksi di luar negara.

Meskipun proses dokumentasinya masih belum selesai, Kobe tetap menunjukkan minat yang tinggi bagi menyarung jersi Harimau Malaya.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mengambil tindakan untuk menyelesaikan isu ini dengan segera sebelum terlambat.