Bola sepak wanita perlu dijulang, perbanyakkan kejohanan besar untuk realisasikan impian Malayan Tigress ke Piala Dunia
Pasukan bola sepak wanita negara di bawah kendalian ketua jurulatih, Jacob Joseph telah mengakhiri saingan Piala AFF Wanita 2022 di tangga kelima saingan Kumpulan A.
Pasukan tersebut hanya berjaya mencatatkan keputusan dua seri dan tiga kekalahan sepanjang lima perlawanan yang telah berlangsung.
Lebih menyedihkan, pasukan negara terpaksa akur berkongsi mata dengan dua pasukan, Singapura dan Indonesia yang berada di ranking lebih rendah.
Namun begitu, taktikal yang digunakan oleh Jacob sepanjang kejohanan berjaya mengelakkan pasukan negara dari dimalukan dengan jaringan yang besar melebihi enam.
Pada masa yang sama, ada beberapa keputusan yang dilakukan pengendali berusia 64 tahun tersebut menimbulkan tanda tanya.
Pengalaman pemain muda, Berlin Leong yang beraksi di Eropah bersama pasukan C.F Pozuelo di Sepanyol dilihat tidak dimanfaatkan oleh Jacob yang tidak meletakan beliau sebagai kesebelasan pilihan utama.
Pada perlawanan persahabatan sebelum kejohanan bermula menentang Bangladesh, Berlin hanya diturunkan pada minit-minit akhir perlawanan sahaja.
Ini menimbulkan persoalan kerana Jacob lebih cenderung menggunakan pemain yang lebih berusia jika dibandingkan dengan pasukan lawan seperti Filipina dan Australia yang gemar menurunkan pemain yang jauh lebih muda.
Jacob perlu mewujudkan lebih variasi dalam pemilihan taktikal permainanan tatkala pasukan ini dilihat gagal menewaskan pasukan Singapura dan Indonesia ekoran daripada corak bertahan yang digunakan.
Para pemain terlalu memberi fokus kepada bertahan sehingga mereka gagal memanfaatkan beberapa peluang yang terhidang untuk menjaringkan gol.
Lebih parah, pasukan negara hampir dikejutkan oleh pasukan Singapura sebelum berjaya diselamatkan menerusi jaringan dari sudut sukar di minit akhir oleh ketua pasukan, Steffi Sidhu.
Perkara ini perlu diperbaiki oleh barisan kejurulatihan Malayan Tigress pada kejohanan berikutnya.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memperbaiki kualiti kejohanan utama seperti Liga Wanita Nasional (LWN) dan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR).
Aspek pembangunan bola sepak wanita perlu diberikan fokus yang lebih oleh badan bertanggungjawab bagi merealisasikan impian untuk layak ke pentas Piala Dunia.
Impian ini dilihat realistik tatkala negara serantau seperti Filipina dan Vietnam telah berjaya menempah slot di Piala Dunia 2023 yang dianjurkan oleh tuan rumah bersama, Australia dan New Zealand.
Besar harapan yang diletakkan oleh para peminat bola sepak wanita negara untuk melihat kebangkitan yang dapat ditunjukkan oleh skuad ini di masa hadapan.
Pada masa yang sama, ramai di antara mereka turut mengharapkan layanan dan sokongan sama rata dapat terus diberikan tanpa mengira jantina.
Pasukan wanita negara kini berada di tangga ke-85 dunia berada jauh di bawah negara seperti Thailand, Vietnam dan Filipina.