Saya dah lali dengan tohmahan munafik ni – Khalid Samad

1,147

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad memberitahu bahawa beliau sudah lali dengan pelbagai tohmahan yang dilemparkan kepadanya termasuklah dituduh sebagai munafik oleh banyak pihak sebelum ini.

Khalid berkata demikian selepas ditanya samada beliau akan mengambil tindakan terhadap salah seorang kakitangan syarikat swasta yang menguruskan Stadium Kuala Lumpur, Cheras susulan kemelut yang berlaku antara KLFA dan KL City FC dengan syarikat swasta tersebut.


“Tuduhan munafik lah, tuduhan itu inilah. Orang yang berada dalam arena politik seperti saya ni sudah biasa dah dengan tuduhan seperti ini.

Saya cuma nak kata, jika tuduhan itu tak kena pada saya dan tak betul, ia akan balik kepadanya,”

katanya ringkas.

Sejak minggu lalu, kemelut membabitkan KLFA dengan pihak swasta yang menguruskan stadium menjadi semakin tegang apabila kedua-dua pihak terus mengeluarkan kenyataan menghentam antara satu sama lain.

Presiden KLFA terlebih dahulu mendesak pemilik stadium iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menarik semula pajakan stadium tersebut dari pihak swasta dan menyerahkan kepada KLFA ataupun KL City FC.

Beliau berkata demikian selepas pihak swasta tersebut gagal menyelenggara stadium itu dengan baik sehingga menimbulkan beberapa masalah terutamanya ketika saingan Piala AFC 2022 baru-baru ini.

Malah Khalid turut mendedahkan pihak swasta tersebut langsung tidak mengeluarkan wang langsung untuk membaiki lampu limpah, sebaliknya pihaknya yang terpaksa mengeluarkan wang untuk membaiki demi menepati kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Selain isu lampu, masalah penjagaan padang juga dibangkitkan apabila beliau mendakwa pihak swasta tersebut tidak menitikberatkan soal penjagaan padang langsung sehingga menyebabkan kualiti padang terjejas.

“Seminggu sebelum perlawanan Piala AFC bermula kita mendapat tahu bahawa pihak DBKL dan pihak swasta itu tidak akan mengambil apa-apa tindakan dan membaiki lampu limpah, jadi kami terpaksa baiki dengan mengeluarkan kos sendiri.

Mereka perlu jujur dan akui bahawa pihak yang mengambil tindakan untuk pastikan keadaan stadium itu memuaskan adalah pihak KLFA dan KL City FC, termasuklah soal keadaan padang yang kami dapati berada dalam keadaan kurang memuaskan.

Padang itu digunakan dengan begitu kerap oleh pihak-pihak yang menyewa padang tersebut. Oleh itu kita terpaksa bawa roller kita sendiri untuk selenggara padang supaya ia berada dalam keadaan terbaik sebelum saingan Piala AFC bermula.”

Dalam pada itu, Khalid turut mendedahkan bawaha beliau telah dihubungi oleh ketua jurulatih KL City iaitu Bojan Hodak yang mengadu kepadanya mengenai pemainnya cedera kerana terpaksa berlatih di padang yang keras.

Ketika ini skuad KL City tidak menjalani latihan di Stadium Cheras, sebaliknya mereka berlatih di sebuah padang di Pudu Ulu Cheras yang mana kualiti padangnya agak keras sekaligus sering menyebabkan pemain mengalami kecederaan.

“Saya dihubungi oleh Bojan yang mengadu mereka tidak dapat buat latihan di Stadium KL dan terpaksa berlatih di Pudu Ulu. Di sana padangnya agak keras dan pemain sering cedera dan baru-baru ini Paulo Josue dan J. Partiban turut mengalami kecederaan selepas berlatih di sana.

Oleh sebab itu pada perlawanan menentang Selangor FC, kedua-dua pemain ini tidak dapat diturunkan dan kita kalah pada perlawanan itu.”

Disebalik banyak halangan yang dihadapi anak buah Hodak, Khalid nyata bangga dengan prestasi pemain KL City yang semakin baik.

Sementara itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak DBKL yang akan mengkaji balik kontrak pajakan stadium dan berharap KLFA dan KL City FC dibenarkan untuk menguruskan stadium demi prestasi pasukan bola sepak KL City.

Khalid berkata jika mereka dapat menguruskan stadium tersebut, beliau yakin pihaknya akan lebih mudah untuk mencari penaja stadium termasuk menaik taraf stadium menjadi lebih baik.