Zamsaham batalkan perlawanan kerana permintaan tidak masuk akal hampir RM12 ribu, perniagaan di Indonesia jadi mangsa ugutan

13,696

Permintaan ‘wang keamanan’ dari Polis Indonesia berjumlah RP 40 Juta (RM 11,821) dilihat sebagai tidak masuk akal dan telah merosakkan atmosefera perlawanan persahabatan di antara pasukan Kelantan FC dan PSPS Riau.

Tambahan pula, permintaan pada minit-minit akhir ini menimbulkan keraguan tentang kesahihan undang-undang seperti ini diguna pakai.


Pemilik kedua-dua pasukan, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham terpaksa mengambil keputusan membatalkan perlawanan ini kerana tidak mahu membayar sebarang jumlah tanpa adanya kenyataan hitam putih.

Lebih menyedihkan, perkara ini berlaku sejam sebelum sepak mula dan para penyokong kedua-dua pasukan telah mula membanjiri stadium.

Pada masa yang sama, pihak Polis Indonesia telah mempertahankan tindakan tersebut melalui kenyataan yang menjawab tentang punca wang tersebut diminta.

Wakil Polis Pekanbaru, AKBP Hengki Poerwanto menjelaskan bahawa situasi ini terjadi ekoran daripada kelewatan pihak pengurusan pasukan PSPS Riau untuk memberitahu pihak berkuasa tentang perlawanan ini.

Namun, jumlah yang diminta terlampau tinggi dan tidak masuk akal sedangkan tiada peraturan yang menetapkan sebarang nilai yang perlu dibayar oleh mana-mana pasukan.

Ekoran daripada tindakan yang diambil, perniagaan yang dimiliki oleh Zamsaham di negara jiran tersebut telah berhadapan dengan tindakan khianat daripada penyokong.

Ada segelintir daripada penyokong bola sepak di sana yang cuba merosakkan kawasan perniagaan yang dimiliki oleh pemilik berusia 41 tahun tersebut.

Ini merupakan kali pertama kejadian tidak bermoral melibatkan pasukan dari Liga Malaysia (Liga M) seperti ini berlaku.

Kejadian ini merosakkan suasana bola sepak di antara dua pasukan yang cukup terkenal dengan semangat bola sepak yang tinggi di kalangan penyokong.

Pihak bertanggungjawab tidak sepatutnya mengambil kesempatan daripada acara sukan seperti ini untuk mendapatkan keuntungan ‘atas angin’ semata-mata.

Pembatalan perlawanan persahabatan ini turut merosakkan perancangan pasukan Kelantan yang ingin menjadikan ia sebagai medan bagi menguji kebolehan kesemua pemain yang dimiliki oleh ketua jurulatih, Rezal Zambery Yahya.

Diharap agar kejadian seperti ini tidak berulang kembali dan dapat dielakkan bagi terus menjaga nama baik sukan bola sepak.

Dalam pada itu, Kelantan selepas ini akan mendapat semangat baru untuk mengakhiri saingan Liga Perdana musim ini selepas gelanggang keramat mereka, Stadium Sultan Muhammad IV telah bersedia untuk digunakan semula.  

Perlawanan menentang UiTM FC pada 18 Julai ini akan menjadi aksi pertama anak buah Rezal di stadium tersebut.

Pasukan tersebut kini berada di kedudukan terbaik selepas berada di tangga kedua di belakang Terengganu FC II yang berkelebihan dua perlawanan.