Bangkok Century Cup bukan matlamat utama Manchester United, tinggalkan trofi di Bangkok sebelum berangkat ke Australia

680

Manchester United (MU) telah berjaya menjuarai Bangkok Century Cup 2022 selepas menang bergaya 4-0 dengan Liverpool.

Perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Kebangsaan Rajamangala itu telah dihadiri oleh seramai 50,248 penyokong kedua-dua pasukan yang membanjiri stadium tersebut.


Yang menarik perhatian adalah tindakan pasukan MU meninggalkan piala yang dimenangi di Bangkok dan terus berangkat ke Australia untuk aksi persahabatan seterusnya.

Perkara ini mendapat pelbagai reaksi dari penyokong tatkala piala tersebut merupakan kejayaan pertama mereka selepas diambil alih oleh ketua jurulatih baru dari Belanda, Erik ten Hag.

MU dilihat berjaya menggunakan kelebihan memiliki jumlah peminat yang besar di Thailand sebagai peluang untuk mendapatkan pulangan wang yang cukup lumayan pada aksi tersebut.

Selain daripada saiz yang agak besar, kemungkinan besar pihak pengurusan pasukan mengambil keputusan untuk meninggalkan trofi ini adalah bagi mengelak dari para pemain dan pasukan mereka terus dijadikan bahan oleh peminat bola sepak dunia.

Ini kerana kejuaraan ini merupakan kejayaan pertama mereka selepas kali terakhir memenangi trofi adalah pada tahun 2017 menerusi dominasi di saingan UEFA Europa League (UEL) pada tahun tersebut.  

Meskipun berjaya mencatatkan kemenangan yang agak selesa, para peminat belum boleh mendabik dada dan berasa selesa kerana banyak perkara yang perlu diperbaiki.

Tambahan pula, pertemuan ini hanyalah sekadar perlawanan persahabatan sebagai persiapan kepada kedua-dua pasukan menjelang musim baru yang akan bermula tidak lama lagi.

Ten Hag perlu segera memperbaiki kekurangan yang dimiliki dalam usaha mengembalikan kegemilangan pasukan itu seperti sedia kala.

Beliau juga perlu segera menyelesaikan beberapa isu yang sedang berlaku di dalam pasukan tersebut untuk mengembalikan motivasi pasukannya.

Ten Hag memiliki kelebihan dari segi barisan pemain yang berkualiti dan mampu menjadi senjata utamanya bagi memberi saingan sengit pada musim hadapan.

Antara pemain yang boleh diketengahkan adalah pemain tengah berusia 19 tahun, Zidane Iqbal yang berjaya memperagakan aksi berkualiti apabila diturunkan.

Pengendali berusia 52 tahun itu sebelum ini pernah membimbing kelab gergasi Belanda, Ajax Amsterdam yang mana beliau berjaya membawa pasukan itu menjuarai liga negara tersebut sebanyak tiga kali.

Peminat setia pasukan The Red Devils meletakkan harapan yang tinggi untuk beliau terus membawa momentum kejayaan ke pasukan ini sekurang-kurangnya untuk memperbaiki kedudukan di tangga keenam pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lepas.

Selepas ini, anak buah Ten Hag dijadual bertemu Melbourne Victory pada 15 Julai untuk meneruskan siri Jelajah EPL di Asia.