Arcadin akan beri kenyataan media berhubung kemelut dengan KLFA dalam masa terdekat

1,087

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad pagi tadi (Selasa) telah membuat kenyataan media mengenai kemelut yang berlaku dengan pihak pengurusan Stadium Kuala Lumpur, Cheras.

Dalam kenyataan Khalid, beliau mendakwa pihak swasta yang diberikan tanggungjawab untuk mengurus dan menyelenggara stadium berkenaan tidak melakukan kerja dengan baik sehingga memaksa pihak KLFA dan KL City FC sendiri mengeluarkan wang untuk membaiki kemudahan di stadium itu pada kejohanan Piala AFC 2022 baru-baru ini.


Selain itu, pelbagai lagi perkara yang dibangkitkan oleh Presiden KLFA itu sambil turut mendesak pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang merupakan pemilik stadium itu supaya menarik balik pajakan stadium itu dari syarikat swasta berkenaan.

Berikutan itu, Harimau Malaya telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Arcadin Services Sdn Bhd, Afizal Abu Othman bagi mendapatkan komen beliau mengenai dakwaan tersebut.

Afizal bagaimanapun berkata beliau tidak dapat memberikan sebarang kenyataan media buat masa ini.

“Saya mohon maaf tak dapat beri kenyataan sekarang. InsyaAllah dalam masa terdekat kami akan bagi kenyataan media,”

jawabnya ringkas.

Sebelum ini, pihak Arcadin menerusi Afizal telah mengeluarkan kenyataan menyangkal dakwaan Presiden KLFA itu yang mendakwa mereka tidak menyelenggara dengan baik stadium sehingga menimbul masalah pada saingan Piala AFC 2022.

Afizal menegaskan bahawa dakwaan Khalid adalah tidak berasas dan menjelaskan sekiranya keadaan stadium tidak berada dalam keadaan baik sudah pasti pihak AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) tidak akan luluskan stadium itu sebagai venue.

Sampai bila kemelut ini akan berterusan? Diharap kedua-dua pihak dapat duduk semeja dan berbincang bagi menyelesaikan secara baik demi kebaikan pasukan bola sepak KL City FC.