Bojan Hodak akui padang tak berkualiti di Pudu Ulu jadi punca pemain sering cedera

689

Ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak mengakui beliau ada mengadu kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad mengenai kualiti padang latihan di Pudu Ulu, Cheras yang tidak berkualiti.

Menurut Hodak, sejak mereka mula menjalani latihan di Pudu Ulu, ramai pemainnya sering berdepan masalah kecederaan.


“Ya betul memang saya ada mengadu kepada Presiden KLFA sejak kami mula berlatih di padang Pudu Ulu kerana kualitinya yang teruk dan ia menyebabkan ramai pemain saya mengalami kecederaan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, situasi yang berlaku ketika ini tidak berlaku langsung pada musim lalu kerana ketika itu mereka kerap menjalani latihan di Stadium Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Hodak turut memaklumkan perkara itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard.

“Saya juga ada maklumkan kepada CEO, Stanley dan beliau maklumkan kepada saya yang mereka berdepan masalah dengan pihak stadium kerana stadium kini dibawah pengurusan syarikat swasta.”

Hodak juga berkata situasi ini sangat pelik kerana di Eropah perkara seperti ini tidak berlaku iaitu stadium dimiliki oleh pihak kedua dan bukannya pasukan bola sepak.