Brad Maloney tetap bangga pencapaian anak buah, tidak tolak kemungkinan sudah ada tawaran lain

1,163

Brad Maloney akhirnya dilepaskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) daripada jawatan ketua jurulatih skuad B-23 negara selepas sesi mesyuarat yang diadakan hari ini.

Menurut FAM, keputusan itu dicapai oleh kedua-dua pihak selepas Maloney hadir ke Wisma FAM bagi membentangkan laporan prestasi skuad B-23 negara pada Sukan SEA Vietnam Mei lalu dan Piala Asia B-23 2022 bulan lalu.


Maloney bagaimanapun berkata beliau bangga dengan dengan apa yang telah dicapai anak buahnya dalam tempoh yang singkat beliau mengendalikan mereka.

Menurut Maloney, di bawah kendaliannya Malaysia berjaya layak ke Piala Asia B-19 dengan memenangi semua perlawanan dan juga layak ke Piala Asia B-23 sebagai juara kumpulan tanpa melepaskan sebarang gol.

“Saya berbangga dengan apa yang pasukan ini telah capai dalam masa yang singkat,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, beliau tidak memberi komen tentang kedudukan barisan kejurulatihan lain terutama pembantunya, Khan Hung Meng.

Beliau juga berkata, setakat ini beliau tidak mempunyai rancangan untuk melatih kelab Liga Super tetapi tidak menolak sudah mempunyai tawaran daripada pasukan lain.

Terdahulu, jurulatih berusia 50 tahun itu bermula sebagai penolong jurulatih B-23 pada 2014 sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih B-19 kebangsaan pada 2019 dan seterusnya ketua jurulatih B-23 kebangsaan sejak tahun lalu.