Isu gaji di Liga Malaysia umpama tiada noktah, pemotongan gaji staf jadi masalah terbaru
Liga Malaysia dan masalah gaji berpisah tiada. Terbaru, ada sumber yang mendedahkan tentang masalah dalaman berkaitan pemotongan gaji yang sedang dihadapi oleh sebuah pasukan ‘elit’ di Liga Super.
Lebih parah, masalah kali ini melibatkan barisan kejurulatihan dan staf yang dipotong gaji tanpa sebarang perbincangan.
Walaupun tidak menyebut pasukan manakah yang dimaksudkan itu, namun sumber itu memberi bayangan bahawa pasukan yang berdepan masalah itu adalah pasukan yang mempunyai empat kemenangan dalam saingan Liga Super ketika ini.
Berdasarkan kriteria ini, terdapat tiga pasukan yang memiliki empat kemenangan setakat ini iaitu Kedah Darul Aman FC, KL City FC dan Terengganu FC.
Perkara ini sedikit mengejutkan kerana ketiga-tiga pasukan ini berada di momentum persembahan terbaik.
Kedah dan KL City sebelum ini berjaya layak ke saingan separuh akhir Zon ASEAN untuk kejohanan Piala AFC 2022 manakala Terengganu menunjukkan kebangkitan yang hebat sehingga berjaya mara ke pusingan suku akhir Piala FA selepas menewaskan pasukan Kedah.
Namun, tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa isu dan konflik dalaman yang membelenggu pasukan-pasukan ini sebelum ini.
Tambahan lagi, selain dari masalah pemotongan gaji, difahamkan pihak pengurusan pasukan itu juga telah menukar KPI (Petunjuk Prestasi Utama) oleh barisan kepimpinan tanpa sebarang rundingan turut menjadi antara salah satu masalah utama yang dihadapi oleh pasukan tersebut.
Walaubagaimanapun, masih tiada bukti yang kukuh untuk menunding jari pada mana-mana pasukan tertentu setakat ini.
Sebelum ini, pasukan Sarawak United FC turut terpalit dengan masalah melibatkan gaji yang menyebabkan mereka dikenakan sekatan perpindahan pemain tempatan dan import untuk tiga jendela perpindahan oleh Persukutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Diharap agar kesemua pengurusan kelab di Liga Super mengambil pengajaran daripada situasi ini untuk memastikan kebajikan pasukan terus terpelihara bagi terus menjaga kualiti liga di Malaysia.
‘Barah’ ini semakin merebak dan terus merosakkan reputasi Liga Malaysia tatkala pasukan bola sepak negara berada di landasan terbaik setelah berjaya mempamerkan aksi memberangsangkan di kesemua peringkat umur.
Terdahulu, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (FIFPro) telah mengeluarkan amaran terhadap beberapa negara yang mempunyai masalah tunggakan gaji yang kritikal.
Amaran yang dikenakan oleh FIFPro kepada beberapa liga besar seperti China dan Greece perlu dijadikan iktibar oleh pihak pengurusan kelab agar Liga M tidak menerima nasib yang sama.