KL City FC perlu ada visi dan misi yang lebih jauh, tambah baik padang latihan sedia ada terlebih dahulu
Kuala Lumpur City FC perlu mula mengorak langkah dalam menyediakan fasiliti latihan berkualiti yang dimiliki sepenuhnya oleh mereka.
Hal ini ekoran daripada krisis pengurusan stadium yang dihadapi oleh pasukan tersebut menjejaskan sesi latihan pasukan tersebut yang terpaksa dilakukan di padang awam Pudu Ulu, Cheras.
Terdahulu, pihak pengurusan pasukan menghadapi kemelut berkaitan dengan tanggungjawab pengurusan gelanggang keramat mereka, Stadium Kuala Lumpur, Cheras.
Perkara ini turut disentuh oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad yang menyifatkan pihak bertanggungjawab tidak menjalankan tugas yang sepatutnya sehingga membebankan pihaknya.
Isu ini memberi kesan kepada pasukan juara Piala Malaysia 2021 tersebut yang berhadapan dengan pelbagai masalah yang merencatkan momentum cemerlang mereka.
Ketua jurulatih pasukan, Bojan Hodak turut berpendapat bahawa keadaan padang latihan yang tidak berkualiti di Pudu Ulu memberi risiko yang tinggi kepada para pemainnya.
Lebih parah, terdapat beberapa pemain KL City yang telah mengalami kecederaan sejak mereka mula menggunakan padang tersebut.
Ini akan terus menjejaskan persiapan pasukan tatkala mereka akan berhadapan dengan pasukan Viettel FC dari Vietnam di saingan separuh akhir Piala AFC 2022 Zon ASEAN nanti.
Namun begitu, daripada terus menunding jari kepada mana-mana pihak, pihak pengurusan perlu mula mencari alternatif bagi mewujudkan fasiliti latihan yang sesuai untuk digunakan oleh pasukan.
Buat masa ini, pihak pengurusan sekurang-kurangnya perlu membuat penambahbaikan padang latihan sedia ada di Pudu Ulu terlebih dahulu untuk memberi keselesaan kepada para pemain dan barisan kejurulatihan.
Sesutu perlu dilakukan bagi mengatasi masalah perubahan cuaca yang tidak menentu pada ketika ini yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada kualiti padang latihan tersebut.
Sebelum ini, ada segelintir peminat yang turut mempersoalkan visi dan misi pihak pengurusan pasukan untuk terus meningkatkan kualiti pasukan yang dimiliki.
Ada pihak yang turut meluahkan kekecewaan mereka yang melihat pihak pengurusan tidak mempunyai pelan dan inisiatif pembangunan termasuk penambahbaikan padang latihan untuk jangka masa yang lebih panjang.
Pihak pengurusan kelab perlu berunding dan mengambil keputusan terbaik bagi menjamin perkembangan pasukan di masa hadapan.
Kecederaan pemain merupakan antara penghalang utama sesebuah pasukan untuk mempamerkan aksi terbaik secara konsisten.
Usaha ini perlu dilakukan dengan kadar segera bagi mengurangkan risiko masa hadapan yang akan terus menggugat prestasi pasukan kendalian Hodak.
Prestasi memberangsangkan pada beberapa musim ini mampu diteruskan oleh pasukan ibu kota ini sekiranya mereka mempunyai fasiliti latihan yang lebih selesa dan berkualiti.
Diharap agar pasukan ini dapat mengekalkan momentum sedia ada untuk terus mempamerkan aksi memberangsangkan pada saingan musim ini terutama sekali di pusingan kalah mati Piala AFC 2022 yang akan berlangsung pada 10 Ogos depan.